Pendidik Cina digesa berani bantah PPSMI
Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) mendesak Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) lebih berani membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Setiausaha hal ehwal dalam negeri Dema, Lee Song Yong berkata, mereka kecewa dengan sikap Dong Zhong dan ia disampaikan kepada organisasi itu melalui satu memorandum petang semalam.
"Dong Zhong jangan jadi organisasi keluarkan kenyataan (media) sahaja, tetapi mesti disertai dengan tindakan," katanya dalam satu kenyataan.
Memorandum yang mendapat sokongan 12 lagi persatuan mahasiswa di seluruh negara diserahkan kepada ketua pegawai eksekutif Dong Zhong kira-kira jam 2 petang.
Lee juga berkata, Dong Zhong didakwa tidak menunjukkan pendirian jelas berhubung perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ke Istana Negara, petang Sabtu ini.
Dema, yang turut bergabung dalam GMP, turut meminta Dong Zhong menggalakkan masyarakat Cina beramai-ramai turun dalam perhimpunan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Dong Zhong berkata ia tidak menyertai perhimpunan kerana tidak terlibat merangka memorandum tersebut dan tidak melihat kandungan tersebut walaupun beberapa kali memohon untuk menelitinya.
Dong Zhong dan tujuh lagi NGO utama Cina berkata akan menentukan tindakan terbaru mereka dalam bulan ini.
Aktivis bahasa dan sastera merancang berkumpul di tiga lokasi di ibu negara – Masjid Negara, Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo – sebelum berarak dalam pakaian putih bagi menyerahkan memorandum memohon campur tangan baginda untuk memansuhkan dasar kontroversi itu.
Polis hari ini bagaimanapun melarang sebarang perarakan diadakan walaupun membenarkan perhimpunan diadakan di Masjid Negara.
Kebenaran berkumpul di dua lagi lokasi belum diketahui.
Selain pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

