BERITA

S'gor kejar Dr Khir isu beli aset Arab Saudi

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Mac 2009, 11:45 tengahari

Kerajaan Selangor hari ini mengejar lagi bekas menteri besarnya Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung pembelian aset di Arab Saudi yang berkemungkinan menyalahi Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Akta Kawalan Pertukaran.

Dr Mohamad Khir mewakili anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dalam pembelian hartanah Menara Al Marwa Makkah dengan seorang individu pada 2007, kata setiausaha politik menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

al marwa tower part of the abraj al bait towers complex mekah mecca 250209 03 Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga wakil rakyat Seri Setia, berkata kerajaan negeri berharap Dr Mohamad Khir dan individu tersebut - yang tidak dinamakan - "tampil kehadapan untuk menjelaskan perkara sebenar".

"PNSB juga telah mendapat khidmat nasihat daripada Bank Negara tentang perkara ini agar syarikat itu bersih daripada tuduhan bersubahat melakukan kesalahan di bawah (dua) undang-undang tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut resolusi lembaga pengarah syarikat itu bertarikh 14 September 2007, PNSB memutuskan pembelian lima unit hartanah berharga RM8.3 juta.

"Bagaimanapun rekod menunjukkan bahawa di antara 17 September dan 19 September 2007, PNSB telah meremitkan (bayar) RM25.6 juta ke Arab Saudi untuk pembelian 12 unit hartanah.

"Kemudian di antara 25 September dan 3 Oktober 2007, PNSB telah menerima bayaran sebanyak RM17.2 juta daripada seorang individu yang dikatakan untuk penjualan tujuh unit hartanah dari Arab Saudi," kata Nik Nazmi lagi.

"Pembelian hartanah oleh PNSB dibuat dalam matawang Riyal sedangkan penjualan kepada individu tersebut (dibuat) adalah matawang RM.

"Sehingga hari ini, PNSB tidak mempunyai apa-apa rekod yang menunjukkan bahawa individu yang membeli hartanah daripada PNSB telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membeli hartanah di luar negara."

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.