Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) yang menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang baru itu mempunyai kuasa pemantau ke atas 21 agensi kerajaan.

Suruhanjaya baru ini - yang berasal daripada idea menubuhkan IPCMC - pada mulanya dikenali sebagai Suruhanjaya Aduan Khas (SCC).

Perubahan tersebut dibuat selepas kerajaan menarik balik hasratnya untuk menubuhkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh suruhanjaya diraja siasatan terhadap badan kepolisan.

Ekoran bantahan pihak polis, kerajaan menggubal rang undang-undang SCC, yang mempunyai kurang kuasa dan merangkumi agensi-agensi penguatkuasa lain, selain pasukan polis.

Bagaimanapun, ia dikritik hebat oleh badan-badan hak asasi manusia yang beranggapan SCC begitu berbeza dengan IPCMC dan versinya tidak seperti yang disyorkan oleh suruhanjaya siasatan diraja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berikrar untuk melaksanakan beberapa pembaharuan sebelum bersara hujung bulan ini, dilihat membuat percubaan terakhir dengan pembentangan SIAP di Dewan Rakyat.

Dalam pakej reformasinya sebelum ini, perdana menteri memperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.