Konvesyen PAS yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Disember ini diharap oleh pendokong PAS akan menentukan halatuju dan perjalanan politik PAS dalam arus perdana demokrasi politik Malaysia.

Konvensyen PAS yang juga dikenali sebagai Munaqsyah Ucapan Dasar Presiden PAS yang diadakan bagi mengkaji ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar Agung Tahunan PAS kali ini turut diperluaskan skop perbincangannya sehinggalah mencakupi empat perkara penting untuk diperdebatkan.

Ia merupakan pembentangan kertas oleh pemimpin tertinggi PAS Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (ucapan dasar parti); Naib Presiden, Datuk Dr Hassan Ali (Memperkasakan parti) dan Ketua Dewan Ulama Pusat, Datuk Harun Taib (Cabaran dan pemikiran ulama masakini).

Manakala seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mustafa Ali, yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat akan membentangkan post mortem pilihanraya umum yang baru lalu.

Persoalan yang timbul: Adakah melalui konvensyen ini, PAS mampu membuat perubahan totok dan sekaligus merubah sikap dan pandangan negatif masyarakat majmuk di negara terhadap parti itu, dan membuat mereka yakin dengan kemampuannya untuk menentukan perjalanan dan pembangunan negara dari segi sosial dan ekonomi.

Sekiranya dikupas satu persatu agenda yang hendak diperdebatkan dalam konvensyen tersebut, contohnya kertaskerja berkaitan ucapan dasar parti, penyediaannya amat lemah, sehinggakan dalam konteks kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu, Presiden PAS gagal membawa parti ke arah penerokaan gerak kerja yang lebih baik dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Sikap fanatik

Sebaliknya, semua saranan dalam kerja kerja tersebut seolah-olah ingin membawa ahli dan jentera parti berpatah balik ke era 80-an.

Justeru, tidak salahlah sekiranya sekiranya pihak-pihak tertentu menyifatkan PAS sebagai sebuah organisasi politik yang fanatik dan jumud dalam menangani isu-isu politik. Tambahan pula, dalam Harakah keluaran terbaru, Presiden PAS amat berharap agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membuat perubahan dan anjakan pemikiran yang lebih terencana.

Ini bermakna amat jelas menonjolkan bahawa kepimpinan PAS amat lemah dalam membawa arus perdana politik negara kerana masih mengharapkan pihak lain tanpa mampu menyediakan sendiri strategi ke arah perubahan politik negara.

Manakala kertas kerja yang berkaitan dengan post mortem pilihanraya yang bakal dibentangkan, diformat oleh sebahagian cendiakawan dan jentera parti di setiap negeri, melalui soalsiasat yang dijalankan di peringkat negeri. Pelbagai kenyataan berhubung post mortem itu telah dibuat oleh individu dalam jentera parti.

Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPPP) telah mengambil sikap sambil lewa setelah mencapai kemenangan bersejarah dalam pilihanraya umum 1999. Pengarahnya, Datuk Mustafa Ali yang sudah lama memegang jawatan itu, tidak peka tentang selok-belok taktik pihak musuh yang berjaya mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum 2004.

Mustafa dan ahli jawatankuasa JPPP yang rata-ratanya sudah terlalu uzur dari sudut pemikiran dalam mengemaskinikan JPPP dan Jabatan pilihanraya negeri (JPN). JPN didokongi oleh mereka yang bukan mahir dalam bidang strategi politik dan kurang idea untuk mencipta gelombang kebangkitan rakyat mengikut kesesuaian di negeri masing-masing.

Memperkasa parti

Semasa muktamar PAS diadakan di Putik Kelantan baru-baru ini, satu pilihanraya kecil sedang berlangsung Kuala Berang di Terengganu. Terdapat perwakilan di muktamar tersebut yang membangkitkan tentang kelemahan kepimpinan, terutama perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat. Teks ucapan presiden dikira lesu dan PAS kalah lagi dalam pilihanraya kecil Kuala Berang.

Isu kelemahan kepimpinan disentuh dengan begitu lantang sehinggakan satu persatu rumusan untuk memperkasakan parti akan dibawa dalam konvensyen yang akan datang ini. Konvensyen itu juga wajib membincangkan kelemahan total, yang berlaku sekarang di peringkat cawangan dan kawasan PAS di seluruh negara.

Ia menjadi sedemikian kerana majoriti kepimpinan di peringkat akar umbi, hanya pandai berbicara tentang agama, tetapi tidak pandai membicarakan tentang organisasi dan soal-soal pentadbiran awam atau kerajaan yang sedang terbentuk. Mereka juga mempunyai pandangan politik yang cetek.

Persoalannya, adakah kepimpinan sekarang perlu ditukarganti dengan yang lebih berwibawa ataupun kepimpinan sekarang wajib digarap dengan idea-idea baru?

Kepimpinan ulama dijadikan teras dalam kepimpinan PAS sekarang. Ianya menjadi simbol yang mutlak dan menjadi benteng kukuh kepada sesebuah oraganisasi politik di Asia yang memperjuangkan Islam sebagi teras perpaduan sesebuah negara.

Ruang kosong

Tetapi bagi kepimpinan ulama dalam PAS, kewibawaannya dipertikaikan kerana ianya adalah jenama yang tidak global, yang dapat dirasai oleh masyarakat majmuk dalam negara. Kebuntuan pemikiran dalam menangani isu-isu politik, terus menular dalam kepimpinan ulama.

Yang berjaya setakat ini hanyalah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas ketiadaan Almarhum Datuk Fadzil Noor. Apa yang jelas dirindui sekarang ialah kehebatan Almarhum dalam mengeksplotasikan isu-isu politik yang telah dikagumi dan disegani rakan dan lawan.

Almarhum telah meninggalkan satu 'ruang kosong' yang besar iaitu ketiadaan pelapis untuk menggantikan kepimpinan beliau. PAS gagal mempunyai sistem perkaderan pelapis kepimpinan. Masalah besar yang berlaku dalam PAS sekarang apabila timbulnya kekeliruan dalam organisasinya.

Dewan Ulama PAS Pusat hanyalah sebuah dewan yang sama fungsinya seperti Dewan Pemuda dan Muslimat yang tidak boleh sama sekali mengubah perjalanan parti. Tetapi ini telah disalahertikan oleh kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat apabila dewan ini sering membelakangkan keputusan-keputusan bersama oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Telah timbul usaha secara halus menjelang konvensyen ini untuk menyekat mana-mana perwakilan agar tidak lagi menhentam kepimpinan parti secara terbuka sebagaimana yang berlaku dalam muktamar lalu, kerana pemimpin-pemimpin tertentu yang menjadi 'warlord' sekarang tidak mahu lagi dimalukan.

Persoalannya adakah perwakilan negeri-negeri ini nanti ingin menjaga air muka 'warlord' tersebut ataupun membuat ucapan atau perbahasan bermutu bagi merubah pemikiran dalaman dan luaran, agar ia dapat diterjemahkan kepada rakyat tentang kebolehan PAS jika diberi peluang memerintah negara ini.

Konvensyen yang maha penting ini perlu dijalankan dalam suasana bermuhasabah semaksima mungkin bagi mengolah strategi untuk mengeluarkan PAS dari peti sejuk akibat meratapi kekalahan 2004 yang masih belum berkesudahan.


Jamaluddin al-Afghani Jr adalah seorang aktivis PAS.