Pada hari Jumaat 7 Januari 2005, saya bersama beberapa rakan termasuk dari Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan lawatan ke perkampungan Felda Sendayan dekat Seremban. Selepas solat Jumaat, kami berkesempatan bertanya khabar kepada ahli jemaah, Ada yang kelihatan mengelak daripada bersalaman dengan kami. Dalam hati kecil saya berkata: "Tidak mengapa kerana kami hanya insan kerdil, bukan Menteri Besar Negeri Sembilan."

Secara kebetulan, pada minggu sebelumnya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan bersembahyang Jumaat di masjid yang sama dan berduyun-duyun ahli jemaah mahu bersalaman dengannya. Ramai juga yang tidak mahu berjumpa beliau, kerana berkecil hati berhubung isu tanah di Sendayan sudah sekian lama belum selesai.

Kami dikhabarkan, pada hari yang sama juga, ada beberapa kereta Pajero datang memeriksa tanah mereka dengan membuka kepingan-kepingan kertas yang besar sehingga ada peneroka yang beranggapan sudah ada pembeli baru. Kami bertanya siapa yang datang? Mereka memberi tahu semua orang Cina dan beberapa kerat orang Melayu.

Ada juga perkhabaran yang menyatakan tauke AP yang terbesar di Malaysia ingin membeli tanah orang Sendayan, mungkin untuk mendirikan kilang automatif. Namun, dari raut wajah orang Sendayan yang kami temui, jelas menunjukkan mereka mempunyai kesangsian yang luar biasa. Senyum mereka pun senyum sinis.

Selepas itu kami beredar ke sebuah gerai makan bersama sekumpulan peneroka yang kebanyakannya kami kenal. Cikgu Badrul Hisham Shaharin dari Angkatan Muda PKR, memang kenal ramai peneroka Felda Sendayan kerana dia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam pilihanraya umum lalu. Mereka yang mempelawa kami ke gerai berkenaan.

Kami tidak makan tengahari, cuma minum sahaja. Saya dan rakan-rakan memang sudah makan tengahari sebelum sembahyang Jumaat lagi. Tidak tergamak kami untuk menyusahkan peneroka bagi menyediakan makanan untuk kami. Kami kemudian beredar ke rumah seorang peneroka yang memang kami kenal. Sayapun sudah berceramah di tempat ini dan ramailah peneroka yang saya kenal, sekadar tidak boleh mengingat kesemua nama mereka.

Di rumah itulah kami berbual panjang mengenai tsunami, perkembangan masyarakat setempat dan perkembangan isu pembangunan tanah Felda Sendayan yang mana akhirnya inilah yang menjadi topik besar dan hangat dalam perbincangan kami. Yang saya dengar daripada peneroka adalah rintihan dan penyesalan kerana status kampung mereka masih di awang-awangan.

"Tidak ada yang prihatin dan tiada siapa yang peduli." Begitulah keluhan mereka.

Rintihan peneroka

Mereka menunjukkan kepada kami pelbagai dokumen minit mesyuarat, memorandum yang dihantar kepada Bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Sembilan, surat perjanjian jualbeli dan macam-macam lagi. Seorang peneroka berkata: "Ini baru sedikit, ada banyak lagi dokumen berkaitan isu tanah kami di Felda Sendayan ini yang kami simpan di tempat lain yang lebih selamat. Lain kali kami akan dedahkan kesemuanya."

Memang saya lihat dokumen yang ada di situ kalau dilonggokkan, ianya lebih tebal daripada tesis Ph.D saya. Ini belum lagi termasuk dokumen yang mereka kata disimpan di tempat selamat. Kes penjualan tanah Felda LBJ Johnson di bersebelahan Felda Sendayan telah selesai. Peneroka di sana sudah menjadi jutawan. Saya kerap juga melawat ke sana dan memang rumah banglonya besar-besar dan setiap rumah ada dua tiga kereta dan ada kereta mewah berjenama.

Malang sekali kes penjualan tanah Felda Sendayan tergendala dan ianya sudah berlarutan sejak lebih 8 tahun lalu sejak tahun 1996. Saya belum berkesempatan untuk mentelaah secara terperinci dokumen-dokumen yang ada.

Oleh itu, saya mengambil jalan untuk mendedahkan petikan dari memorandum yang dikatakan dihantar oleh sebuah jawatankuasa bertindak peneroka yang di namakan "Jawatankuasa Penyelaras Penyertaan Pembangunan Masyarakat Felda Sendayan" (JPPPM) kepada bekas Perdana Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada bulan November 1996.

Inilah rintihan isihati peneroka yang terbabit. Semoga pembaca dapat menyelami rintihan hati nurani mereka. Saya akan susuli dengan artikel-artikel yang bersifat analisis dan fakta kemudian kelak.

Kandungan memorandum

Jangan tanya saya tentang kesahihan memorandum tersebut. Saya hanya melihat salinan. Saya tidak tahu salinan itu dibuat dari salinan asal atau tidak. Memang saya tidak ada jalan untuk menentukan kesahihannya. Berikut adalah petikan-petikan dari memorandum yang dimaksudkan:

"YAB Dato' Seri. Lanjutan daripada surat kami yang dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri pada 5hb November 1996.

Sebagaimana diketahui umum proses pembelian tanah peneroka Felda Sendayan oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) telahpun dilakukan pada 14hb November 1996 yang lalu.

Pihak kami merasa kesal di atas perjanjian jual beli tanah di antara Peneroka dan PKNNS diteruskan walaupun pada dasarnya Dato Osu Sukam, Menteri di Kementerian Tanah telah membuat kenyataan pada 12hb November 1996 dan juga pada 13hb November 1996 yang mewajibkan 30% pembabitan peneroka terpampang di ruang dada akhbar Berita Harian.

Kenyataan ini telah tidak diendahkan oleh Kerajaan Negeri malahan telah meneruskan perjanjian jual beli tersebut tanpa membabitkan peneroka. Sepatutnya Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri tidak membelakangkan Kerajaan Pusat, beliau sepatutnya hendaklah membatalkan atau menangguhkan perkara ini terlebih dahulu, tetapi keadaan adalah sebaliknya malahan Pesta Perjanjian telah diserikan oleh Y. B Menteri Besar sendiri.

Persoalannya YAB Dato Seri,

1. Adakah PKNNS ditubuhkan untuk memajukan dan meninggikan taraf Bumiputera atau untuk menindas kaum Bumiputera? Ini berdasarkan cara pendekatan yang dijalankan:

Tiada penerangan bentuk pembangunan daripada PKNNS.

Tiada jaminan maupun ekuiti dalam pembangunan.

PKNNS lebih berminat membeli terus daripada peneroka dengan cara jual beli pendekatan jual beli yang berat sebelah: peguam dilantik mewakili kedua belah pihak, tiada jaminan/equiti, cara pembayaran tidak mengikut jadual, wakil kuasa tidak boleh dibatal dan penamatan perjanjian yang merugikan peneroka.

Broker tanah

2. Lupakah kita tujuan sebenar Felda ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Razak? Mengapa hak kami dinafikan? Kami pernah digelar kuli Tun Razak atau kuli estet Tun Razak. Kami tidak memperendahkan kata-kata tersebut malah kami bertekad dan tidak jemu-jemu bertungkus lumus di dalam mempertingkatkan ekonomi kami. Dengan berbekalkan RM69.90 (bantuan) sebulan kami mengharung ombak dan badai. Tidak kami mimpikan bahawa satu hari nanti kami akan menjadi jutawan dengan menjual tanah. Tetapi PKNNS yang menangguk keuntungan. Yang menjadi JAGOHAN untuk membawa kemajuan kepada kampung kami. Berilah ruang kami bersama-sama (penyertaan melalui equiti, pelaksanaan). Mengapa PKNNS diberi equiti sedangkan yang empunya hak dinafikan? Adakah PKNNS yang boleh digelar "broker" berhak memegang equiti? Kami akur PKNNS diberi hak equiti apabila ada pihak lain untuk memajukan tanah kerajaan (seperti tanah Majlis Agama). Jika Allahyarham Tun Razak masih hidup tentu beliau akan menangis apabila hasil ilham beliau tidak kesampaian ke anak cucu kami.

3. YAB Dato Seri, seperkara yang perlu kami ketengahkan ialah menyebut tentang harga. Apa yang ditawarkan kepada kami ialah RM3.00 sekaki persegi. Apakah angka RM3.00 datang dari langit? Apakah asas atau nilai yang diikuti? Apa yang kami ketahui satu pakatan perundingan yang dihadiri oleh PKNNS, Felda, Pengarah Tanah dan Penasihat Undang-undang Negeri telah menetapkan harga tanah Felda Sendayan sebanyak RM2.90 sekaki persegi pada 17hb Mei 1996. Beginikah cara PKNNS mengendalikan jual beli? Tanpa memberi sebarang penerangan kepada kami terlebih dahulu

Seperkara yang perlu diambil kira ialah cara penilaian yang dibuat. Apakah kami akan hidup satu atau dua tahun sahaja tanpa mengambil kira kerugian jangka panjang. Tanah kami di Felda Sendayan dan Felda LBJ telah dizonkan sebahgai MMSC. Kami yakin tanah kami ada nilainya

4. Apakah pemimpin kami di Negeri Sembilan tidak prihatin tentang tanggungjawab sosial. Di manakah kami untuk meneruskan kehidupan ini? Di dalam perjanjian kami ada diperuntukkan tanah seluas 0.5 ekar. Persoalan, di mana? Apakah kami seperti 34 tahun yang lampau? Diletakkan di hujung negeri. Kami bukan sampah masyarakat

YAB Dato Seri, RM69.90 yang kami perolehi 34 tahun yang lalu untuk meneruskan hidup, kami juga berjaya memberi pelajaran kepada anak-anak kami. Sekarang anak-anak kami berada di mana-mana samada badan kerajaan atau pun syarikat swasta. Kami berkeyakinan penuh anak-anak kami mampu berganding dengan mana-mana pemaju. Bukan dengan menidakkan hak mereka seperti yang diperlakukan oleh PKNNS.

Sekali lagi kami nyatakan bahawa kami bukan penentang pembangunan maupun bukan penentang pembababitan agensi kerajaan di dalam membangunkan tanah kami. Apa yang kami mahukan ialah penyertaan di dalam serba serbi agar dapat dinikmati anak cucu kami. Apa yang memeranjatkan kami ialah PKNNS tanpa sebarang seinci tanah di Felda Sendayan, dengan mudah mendapat 30% equiti di dalam NSTCB. Tiga puluh peratus ini adalah hak kami di Felda Sendayan sebenarnya.

Peristiwa bandar Nilai

Untuk pengetahuan Dato Seri, tanah kami baik di Felda Sendayan, LBJ, Jimah Baru maupun di Gadong akan tergadai kepada PKNNS yang dikatakan memperjuangkan hak dan mempertingkatkan ekonomi orang Melayu. Sepanjang penglibatan PKNNS di Bandar Baru Nilai dan Seremban gagal memberi peluang kepada orang Melayu berniaga, malah orang Melayu di Nilai akan keluar dari Bandar Nilai, sebab itu kami tidak mahu perkara di Bandar Baru Nilai berulang.

Tinggilah harapan kami agar YAB Dato Seri membetulkan ketidakadilan, kerakusan premimpin yang hipokrit dalam memperjuangkan bangsa dan agama. Berilah peluang kapada kami dan anak-anak kami pejuang bangsa meneruskan perjuangan yang belum selesai "

Begitulah bunyinya rintihan peneroka Felda Sendayan. Ikhtiar dan ketabahan mereka memperjuangkan hak mereka yang sah memang terpuji. Kementerian dan jabatan mana yang mereka tidak panjat? Semua pihak yang terbabit sudah mereka hubungi. Tetapi segala rintihan mereka jatuh ke telinga yang tuli. Kini Isa Samad terus buat tak tahu. Mohamad Hassan pula lepas tangan.

Dengarkanlah rintihan mereka ini. Pulangkan semula geran tanah mereka. Biarlah mereka berunding terus dengan pemaju kerana nampak jelas kepada kita bahawa peneroka Felda yang tahap pelajaran mereka tidak sampai ke mana adalah lebih berakal daripada pemimpin-pemimpin yang korup dan menyeleweng.

Hanya orang yang tidak berakal sahaja yang tergamak untuk menipu peneroka dan mereka yang tidak berakal inilah sebenarnya yang telah menyebabkan kemelut dan kekusutan isu tanah Felda Sendayan ini. Harap pagar pagar makan padi.

Memang tidak wajar kerajaan mengambil tanah rakyat yang kemudiannya diserahkan kepada pihak swasta yang mahu mengaut keuntungan lumayan. Ini adalah kes pengambilan tanah yang bukan untuk tujuan kepentingan awam dan sudah sewajarnya kerajaan negeri tidak buat kerja yang aib ini.


ROSLI YAAKOP, adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Beliau adalah lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti Wisconsin.