Tahun Baru 2005 menjelma di tengah-tengah kemurungan terkorbannya beratus-ratus ribu orang di Asia Tenggara dan Selatan, serta Afrika, berikutan tragedi tsunami selepas gempa bumi di pantai Sumatera pada 26 Disember. Seluruh dunia kaget dengan jumlah kematian dan kedukacitaan yang melanda.

Namun, sedar tidak sedar 1 Januari 2005 turut menyaksikan berakhirnya Perjanjian Tekstil dan Pakaian 1995 yang dikuatkuasakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah memperuntukkan kuota untuk pembuat tekstil di seluruh dunia. Dengan ini, industri tekstil dan pakaian kini terdedah kepada perdagangan bebas yang tidak wujud sebelum ini.

Sekilas pandang, industri tekstil dan pakaian merupakan industri yang paling sesuai untuk pasaran bebas. Negara-negara membangun lebih senang untuk mendapat kelebihan bandingan dalam industri tersebut, yang membolehkan mereka turut serta dalam pembuatan tekstil dan pakaian dengan kos peluang (opportunity cost) yang lebih rendah, berbanding negara-negara lain.

Dalam situasi perdagangan bebas, kelebihan bandingan menjadi petunjuk bagi negara-negara memilih industri mana yang sepatutnya ditekankan. Memandangkan industri tekstil memerlukan teknologi yang rendah dan juga memerlukan pekerja yang ramai, sememangnya ia sepatutnya menjadi fokus negara-negara membangun.

Selama ini, bagaimanapun, negara-negara maju, khususnya Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah meletakkan kuota dalam industri tekstil. Ini telah menyekat pembangunan industri tekstil terutamanya di China dan India, yang hanya dapat menjual sebanyak mana mereka dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, ia telah menaikkan harga pasaran berikutan kuota yang telah dikenakan. Ia telah melindungi pembuat tekstil khususnya di negara-negara maju daripada bersaing dengan tekstil yang lebih rendah kosnya daripada negara-negara membangun. Pembuat tekstil di negara-negara Afrika dan Eropah Timur juga terlindung kerana dengan adanya sistem kuota, mereka dapat menjual buatan mereka ke negara maju meskipun kos mereka mungkin tidak dapat bersaing pembuat di China dan India.

Impak negatif

Maka, dalam jangkaan WTO, berakhirnya kuota ini akan memberi manfaat kepada industri tekstil dan pakaian di China dan India, tetapi dijangka dalam masa terdekat menjejaskan industri tekstil di Afrika, Turki, Mexico dan Eropah Timur. Malah, Bangladesh dianggarkan akan kehilangan 25 peratus eksport mereka dan 2.3 juta pekerjaan. Mauritius, pulau kecil di Lautan Hindi, dijangka kehilangan 10,000 pekerjaan dan kadar pengangguran melambung ke 10 peratus.

Tetapi dalam mana-mana perubahan struktur ekonomi, sememangnya akan berlaku kehilangan pekerjaan dan impak negatif pada ekonomi yang gagal bersaing. Tanpa kuota, industri tekstil dan pakaian di negara-negara membangun akan dapat bersaing pada situasi sebenar dan mencapai tahap optimum mereka.

Pembuat tekstil di negara-negara maju tidak lagi dapat bersaing di belakang halangan olok-olok, dan merencatkan perkembangan industri tersebut yang sepatutnya menjadi antara industri utama bagi negara-negara membangun untuk melangkah ke arah menjadi negara maju. Ketika Britain, Jepun, Korea dan Hong Kong mula-mula menapak dahulu pun, mereka bergantung kepada industri tekstil dan pakaian. Adalah tidak adil mereka menghalang negara-negara membangun hari ini untuk melalui proses yang serupa.

Tambahan pula, sebarang jangkaan harus juga melihat faktor-faktor lain selain daripada kos. Dunia hari ini bergantung kepada kecepatan pertukaran fesyen, yang akan memberikan kelebihan kepada negara-negara di pinggiran negara maju seperti Mexico untuk Amerika Utara; negara-negara Afrika dan Eropah Timur untuk Kesatuan Eropah; dan China dan India untuk negara Jepun.

Faktor kualiti turut harus diambil kira kerana ia merupakan perkiraan yang penting bagi pasaran negara-negara maju, di samping mengisi pasaran spesifik (niche market). Negara China juga telah mengumumkan duti eksport untuk tekstil mereka yang akan membolehkan mereka menumpukan kepada pasaran kualiti tinggi dan membenarkan negara-negara membangun lain seperti Bangladesh memenuhi permintaan pasaran kualiti rendah.

Latihan semula

Pengilang tekstil di negara-negara maju pula memiliki kelebihan dari segi teknologi pembuatan.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan kos kemanusiaan yang akan timbul dalam proses penyesuaian ini.

Negara-negara maju seharusnya menyumbang kepada negara-negara membangun yang terjejas ekoran perubahan ini untuk membolehkan latihan semula dan tabung kebajikan jangka masa pendek dapat diberikan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Tindakan ini mungkin memberi impak minimum, tetapi penting dalam masa penyesuaian. Harus diingat, bagaimanapun, bahawa sudah satu dekad diberi kepada negara-negara di seluruh dunia untuk menyesuaikan diri dengan pembukaan pasaran ini. Langkah-langkah penyesuaian sepatutnya diambil sejak rancangan menamatkan kuota ini diumumkan lagi.

Selama ini, kuota dalam industri tekstil dan pakaian menjadi sebahagian daripada bayangan hipokrit negara-negara maju yang mahukan perdagangan bebas dalam sektor-sektor yang menguntungkan mereka tetapi meneruskan perlindungan dalam bidang tekstil, pertanian dan lain-lain lagi yang mana negara-negara membangun mempunyai atau berpotensi mempunyai kelebihan bandingan.

Pembebasan sektor tekstil harus dilihat sebagai satu langkah positif, yang akan membantu pekerja tekstil di negara-negara seperti China dan India untuk mengecapi kelebihan globalisasi yang diwarwarkan selama ini.


NIK NAZMI NIK AHMAD, antara lainnya, menyumbang kepada BBC World Service, Channel News Asia dan Asia Times. Blognya boleh dilayari di http://www.niknazmi.com .