Pergolakan di Selatan Thai semakin hilang kawalan dan kini menjadi isu transnasional. Pergolakan yang sebelum ini dianggap hanya masalah dalaman Thailand, kini telah melarat ke Malaysia. Berikutan keganasan yang tercetus pada awal September baru-baru ini, 131 penduduk selatan Thai, yang diklasifikasikan oleh kerajaan Malaysia, sebagai 'pelarian' menyusup ke negeri Kelantan tanpa dokumen yang sah.

Thailand mempunyai enam juta penduduk beragama Islam, kebanyakannya tertumpu di wilayah selatan seperti Pattani, Yala dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia. Dan terdapat aktiviti puak pemisah di bawah pertubuhan bersenjata yang aktif, dikenali sebagai Pattani United Liberation Organization (PULO).

Oleh kerana kebanyakan anggota PULO adalah orang Melayu Islam, maka Malaysia sering dituduh menyebelahi puak pemisah Islam ini. Wilayah Malaysia, terutamanya di Kelantan dikatakan sering menjadi tempat perlindungan puak pemisah Islam bagi mengelak ditangkap tentera Thai. Bahkan, ada antara mereka yang didakwa mempunyai dwi-kerakyatan yang membolehkan mereka bebas keluar masuk ke Malaysia.

Kerajaan Thai sering mengkritik dasar Malaysia yang bersimpati dengan perjuangan penduduk Islam di selatan Thai. Malaysia juga turut dipersalahkan dalam beberapa siri keganasan yang berlaku di selatan Thai kebelakangan ini, kerana dikatakan melindungi pihak-pihak yang bertangungjawab mencetuskan keganasan.

Namun kali ini, situasi sudah berbeza kerana 131 pelarian yang melarikan diri ke Malaysia adalah penduduk awam selatan Thai dan tiada seorangpun daripada mereka yang disenaraihitamkan oleh kerajaan Thai sebagai puak pemisah. Tindakan Malaysia tidak mengembalikan 131 pelarian Selatan Thai itu dan sebaliknya memberikan mereka status pelarian, boleh dijelaskan melalui beberapa faktor.

Bangkok dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, acapkali mengkritik kepimpinan baru Malaysia di bawah Perdana Menteri, Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi kerana dianggap tidak berusaha bersungguh-sungguh menghalang kegiatan pemisah yang aktif di sempadan Malaysia-Thai. Selain itu, Malaysia juga disifatkan sering bersikap lepastangan apabila berlaku keganasan baru di Selatan Thai.

Tamparan hebat

Kehadiran 131 pelarian itu memberi tamparan hebat terhadap sikap angkuh Bangkok, kerana ia secara tidak langsung, membuktikan kelemahannya dalam menyelesaikan masalah dalamannya. Imej kerajaan Thai pimpinan Thaksin juga terjejas apabila penganalisa keselamatan dari Universiti Chulalongkorn sebuah universiti terkemuka negara itu dengan lantang menyeru agar Thaksin meminta bantuan Malaysia untuk menyelesaikan keganasan di Selatan Thai.

Cadangan tersebut yang mendapat liputan meluas media antarabangsa, ternyata telah memalukan kerajaan pimpinan Thaksin. Lantas, Menteri Luar Thailand, Kantathi Suphamongkhon segera menjelaskan bahawa sebarang usaha dan cadangan bagi menyelesaikan masalah di selatan Thai, perlu dilakukan secara berhati-hati agar keadaan tidak menjadi semakin rumit. Kehadiran 131 pelarian selatan Thai dan kemungkinan beratus-ratus lagi dalam waktu terdekat ini, memberi kerajaan Malaysia kesempatan untuk mengkritik dasar keras kerajaan Thai terhadap penduduk wilayah Selatan Thai.

Isu pelarian ini juga akan membuktikan kepada masyarakat antarabangsa, betapa lemahnya kerajaan Thai dalam menangani keganasan di wilayah selatan negara itu. Isu ini telah menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan hak asasi manusia di serata dunia terhadap nasib pelarian dan penduduk Islam di wilayah selatan Thai.

Tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap pergolakan di wilayah selatan Thai sudah pasti akan menyebabkan kerajaan Thai berasa tertekan dan akhirnya, mungkin terpaksa beralih kepada Malaysia untuk meminta bantuan. Rata-rata penduduk Islam di wilayah selatan Thai berketurunan Melayu yang hidup miskin serta mempunyai pertalian persaudaraan dengan umat Islam di Malaysia.

Lagi pula, jika 131 pelarian selatan Thai dihantar pulang, besar kemungkinan mereka akan berdepan dengan tindakan kerajaan Thai. Sengketa Malaysia-Thai sebenarnya bukan perkara baru kerana ia telah menjadi realiti dalam sejarah kedua-dua negara tersebut. Negeri-negeri di utara Semenanjung, misalnya pernah menjadi tanah jajahan Siam sehingga Perang Dunia Kedua berakhir. Banyak kerajaan Melayu tua suatu ketika dahulu jatuh diserang oleh Siam.

Wilayah selatan Thai adalah sisa daripada kejatuhan tamadun Melayu itu. Selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam(OIC), Malaysia mengambil inisiatif dengan menjanjikan bantuan kepada umat Islam dunia, terutama umat Islam di negara bukan Islam seperti di Thailand.

Malahan, Pemuda Umno juga dengan lantang, menyatakan Malaysia mampu menerima ribuan pelarian selatan Thai sepertimana Malaysia menerima puluhan ribu pelarian Islam Bosnia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar. Bukan itu sahaja, kebanyakan pertubuhan Islam di Malaysia bersedia membela nasib mereka.

Secara amnya, penduduk selatan Thai mempunyai hubungan lebih akrab dengan Malaysia berbanding dengan kerajaan pusat di Bangkok. Semangat kewilayahan yang ditunjukkan masyarakat selatan Thai, membimbangkan Bangkok kerana ia bakal menjadi 'duri dalam daging' yang akhirnya akan menyebabkan negara itu berpecah-belah. Oleh itu, tidak hairanlah jika Bangkok sering menuding jari ke arah Malaysia apabila berlaku pergolakan di wilayah berkenaan.

Malaysia juga akan terus memberi layanan terbaik kepada pelarian selatan Thai bagi mengeratkan hubungan mereka, untuk mengimbangi kuasa kerajaan Thai. Mungkin reaksi Malaysia itu sebenarnya sebagai membalas tindakan kerajaan Thai yang melindungi pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang bertapak di selatan Thai semasa Perang Dingin. Melalui perlindungan oleh kerajaan Thai, pergerakan PKM sukar dipatahkan dan bertahan sehingga 1989 sebelum parti tersebut dibubarkan.


Penulis berkelulusan sarjana dalam bidang Kajian Dasar dan Analisis Keselamatan dari Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan tentang isu-isu politik dan keselamatan.