Rombakan kabinet, satu hipotesis awal
Sebelum basah ucapan Tahniah di bibir mentah mahasiswa Malaysia kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berikutan rombakan kabinet kelmarin, mahasiswa Malaysia seharusnya mencermati siapakah menteri yang bersilih-ganti di beberapa kementerian?
Di Universiti Pertanaian Malaysia (UPM), rakan-rakan saya baik dari Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) mahupun Malaysian Students Youth And Democratic Movement (DEMA) yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia riuh melalungkan Student Power di kaca-kaca mobile ( SMS) atas pengguguran Datuk Dr. Shafie Salleh, bekas Menteri Pengajian Tinggi.
Sebelum saya membawa sidang pembaca mencermati sebab-musabab pemecatan Dr. Shafie sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan lantikan Datuk Mustapa Mohamed sebagai penggantinya, eloklah saya galurkan percaturan kabinet baru Pak Lah ini secara am dan holistik dari sudut pandangan saya.
Sebelum basah ucapan Tahniah di bibir mentah mahasiswa Malaysia kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berikutan rombakan kabinet kelmarin, mahasiswa Malaysia seharusnya mencermati siapakah menteri yang bersilih-ganti di beberapa kementerian?
Di Universiti Pertanaian Malaysia (UPM), rakan-rakan saya baik dari Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) mahupun Malaysian Students Youth And Democratic Movement (DEMA) yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia riuh melalungkan Student Power di kaca-kaca mobile ( SMS) atas pengguguran Datuk Dr. Shafie Salleh, bekas Menteri Pengajian Tinggi.
Sebelum saya membawa sidang pembaca mencermati sebab-musabab pemecatan Dr. Shafie sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan lantikan Datuk Mustapa Mohamed sebagai penggantinya, eloklah saya galurkan percaturan kabinet baru Pak Lah ini secara am dan holistik dari sudut pandangan saya.
Bagi saya rombakan kabinet oleh Pak Lah ini hanya satu gimik politik. Saya mengatakan demikian kerana masih ada beberapa menteri yang langsung bermasalah masih kekal menjawat jawatan di kementerian masing-masing.
Antaranya, Datuk Seri Samy Vellu, Menteri Kerja Raya.
Isu retakan 32 daripada 33 tiang jambatan Laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Dalam Buletin Utama TV3 masih hangat diwar-warkan kemungkinan berlaku rasuah dalam pembinaan MRR2 dan beliau sendiri enggan mengulas spekulasi tersebut. Sebaliknya kerajaan terpaksa menyuntik dana rakyat RM20 juta demi kerja baik pulih jejambat terrsebut. Pelik?
Selain itu, Datuk Seri Rafidah Aziz, masih kekal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri. Dua isu utama telah menjejaskan kredibiliti beliau ialah kegagalannya menangani isu permit import (AP) kenderaan dan ketidakhadirannya ke Parliemen beberapa kali bagi menjawab pelbagai isu.
Aspirasi Pak Lah
Rombakan kabinet oleh Pak Lah ini bertentangan dengan niat asas beliau. Perubahan yang diharap-harapkan oleh rakyat tidak terserlah.Tiada perubahan yang patut dibanggakan.
Niat asal Pak Lah ingin membawa perubahan ke dalam kerajaan. Sebab itu, berlaku beberapa pertukaran menteri. Namun, persoalannya, seandainya menteri menteri yang baru dilantik itu sudah mempunyai rekod yang buruk, mampukah mereka berkerja dengan berkesan dalam kementerian yang mereka terajui?
Datuk Noh Omar kini diberi mandat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. Sebelum ini, beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Pelbagai isu seperti isu wanita bogel dalam penjara, pemecatan editor China Press, isu lanjutan 9 tahanan ISA, isu karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w oleh Sarawak Tribune dan sebagainya gagal ditanganinya dengan berkesan.
Sangat malang bagi Pak Lah seandainya Noh membawa segala kegagalannya di Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Pendidikan.
Dato Zainuddin Maidin pula dinaikkan pangkat menjadi Menteri Penerangan. Rasanya sepanjang beliau menjadi Timbalan Menteri di kementerian berkenaan, tidak banyak sumbangan yang dilakukannya.
Beliau mungkin meyumbang kepada UMNO dan Barisan Nasional. Tanyangan dokumentari Gerhana Di Kelantan, Memali, Terengganu Kete dan sebagainya adalah propaganda UMNO dan Barisan Nasional demi mengekalkan hegemoni memerintah.
Zainuddin bercelaru paradigma sebenarnya, bagaimana Pak Lah boleh memberi mandat menteri kepadanya?
Secara peribadi, saya lebih gemar dengan Datuk Mohammed Rahmat (Tok Mat). Dalam era Tok Mat, beliau bukan sahaja menghalang kemasukan artis berambut panjang di kaca-kaca televisyen malah melarang kemunculan artis yang mempunyai rekod sosial yang tidak baik atau artis yang pernah terlibat dengan najis dadah dalam TV1 dan TV2.
Kini, etika penyiaran tidak dikawal selia. Buktinya, filem Rock diiklankan dalam media arus perdana dan dibenarkan siar di panggung wayang walaupun mempunyai unsur black metal . Pada zaman Zainuddin juga pengimportan drama-drama luar sangat banyak berlaku biarpun jelas sekali ceritanya tidak selari dengan etika beragama dan nilai ketimuran, malah menjolok mata.
Sebagai contoh, telenovela Luna dan Sanay Wala Nang Wakas. Natijahnya, paradigma masyarakat bukan sahaja menuju ke arah songsong, malah industri drama dan filem Malaysia sendiri seolah-olah dianaktirikan oleh
Kementerian Penerangan.
Dari Shafie ke Tok Pa
Mengenai perubahan di Kementerian Pengajian Tinggi pula, bekas menterinya, Dr. Shafie sepanjang menjawat jawatan ini, mempunyai reputasi kementerian sangat buruk.
Antaranya, kejatuhan reputasi UM dari tangga ke-89 ke tangga 169 daripada 200 universiti terbaik dunia. Pencabulan demokrasi kampus dalam Pemilihan Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP) 2005/06 yang menyaksikan berlaku boikot oleh mahasiswa di hampir semua kampus. Malaysia serta keengganannya bersemuka dengan 200 mahasiswa di Parlimen pada 21 September 2005 dan banyak lagi.
Berdasarkan rekod Dr. Shafie ini, saya berpandangan adalah wajar beliau digugurkan dari kementerian tersebut.
Walaupun demikian, secara peribadi saya berpandangan Datuk Mustapa Mohamed (Tok Pa) bukanlah calon yang layak untuk mengisi kerusi di Kementerian Pengajian Tinggi. Ini berasaskan kepada beberapa rekod beliau sebelum ini.
Beliau adalah Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Pada Jun 2005, To Pa telah menyuntik puluhan ribu ringgit kepada jentera Aspirasi (kumpulan mahasiswa pro UMNO/BN) atas kapasiti Pengerusi MTEN demi memastikan pihak pro UMNO/BN memenangi kerusi Pemilihan MPP sesi 2005/06. (Sila rujuk fail BPR: rujuk biro.BPR/WP/2005/Sept./MTEN/03].
Selain itu, To Pa sendiri telah mengetuai jentera peringkat UMNO dalam Pemilihan MPM 2005/06 [rujuk akhbar SIASAH, September 2005]. Di dalam akhbar
tersebut terdapat surat rasmi daripada To Pa dengan menggunakan kepala surat UMNO atas tujuan campur tangan politik dalam Pemilihan MPP 2005/06.
Terdapat beberapa siri pertemuan jentera mahasiswa Pro-UMNO/BN dengan jentera UMNO yang diketuai oleh To Pa di PWTC pada Jun-September 2005.
Saya tidak cemburu jika To Pa mahupun mahasiswa ingin berpolitik. Yang saya sanggah ialah penyalahgunaan kuasa dan premis milik Kerajaan untuk tujuan mana-mana parti politik. Perbuatan Tok Pa itu jelas menunjukkan konflik kepentingan antara parti dan kerajaan.
Berdasarkan dua bukti ini, saya melihat bahawa paradigma To Pa sangat berorentasikann politik. Oleh itu mana mungkin beliau mampu memimpin Kementerian Pengajian Tinggi dan gagasan universiti yang jelas sangat
mendukung kebebasan akademik dan demokrasi kampus.
Saya meramalkan masa depan Kementerian PengajianTinggi dan Instituti Pengajian Tinggi di Malaysia akan menjadi jauh lebih haprak lagi berbanding dalam era Dr. Shafie.
Saya melihat lantikan Tok Pa sebagai Menteri baru di Kementerian Pengajian Tinggi tidak lebih untuk membunuh aktivisme dan idealisme mahasiswa Malaysia. Dr. Shafie tidak mampu mengekang gerakan mahasiswa, maka To Pa sebagai pengganti.
Nasihat saya buat To Pa, mahasiswa akan menerimanya dengan baik sekiranya beliau ikhlas menghargai i kepakaran mahasiswa dan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
Langkah awal untuk mengembalikan semula keyakinan mahasiswa kepada pihak KPT dan pengurusan universiti adalah dengan menggugurkan semua pertuduhan ke atas 17 aktivis mahasiswa pro-demokrasi di bawah Tribunal Tatatertib universiti masing-masing.
Kedua, mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang jelas mencabuli hak asasi mahasiswa, hak berkumpul, hak bersyura, hak berpersatuan, hak berfikir dan sebagainya.
Mahasiswa dan kakitangan akademik sedia duduk semeja demi mengubal akta yang baru. Sahut cadangan dan tunaikan kedua-dua tuntutan ini jika To Pa dan kementeriannya benar-benar ikhlas dan telus terhadap mahasiswa Malaysia.
Cabaran untuk Pak Lah
Mudah bagi saya untuk membuat pelbagai hipotesi dan ramalan berhubung percaturan kabinet baru Pak Lah. Namun, akhirnya rakyat termasuk mahasiswa sendiri yang menilainya.
Rakyat akan menerima baik kabinet ini jika Pak Lah bersungguh-sungguh melantik menteri berdasarkan rekod bersih mereka dan reputasi mereka. Jesteru Pak Lah harus mencermati hipotesis saya.
Sekira benar Pak Lah seorang negarawan telus, pecat sahaja semua menteri yang bermasalah dan yang dikaitkan dengan rasuah.
Akhir kata, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa Malaysia khususnya aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia
(GAMIS), Malaysian Youth And Democratic Movement (DEMA), Kelab Remaja Islah Malaysia (KARISMA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa India (JKMI), Food Not Bomb (FNB), dan Students For Pro-Democracy (Pro-DAM) dan sebagainya untuk bersama-sama menyampaikan pandangan dan teguran kepada kerajaan pimpinan Pak Lah demi Malaysia yang tercinta ini.
Jangan asyik terburu-buru laungkan " Student Power" atau ucapan " Tahniah buat Pak Lah" apabila Pak Lah merombak kabinet.

