Siapa yang 'gubra'?
Forum TV, khususnya yang disiarkan oleh RTM, biasanya menjana dua reaksi yang bertentangan daripada penonton: samada debat dianggap mencabar intelek ataupun ahli panel dianggap cetek.
Malangnya, perbincangan forum Fenomena Seni, siaran TV1 pada malam April 23, 2006, jatuh ke dalam kategori kedua.
Kecuali pengarah filem Hassan Muthalib (yang merupakan satu-satu suara kewarasan), anggota panel yang lain - penolong pengarang hiburan Berita Harian Akmal Abdullah dan penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman - yang kononnya hadir untuk membincangkan tajuk tersepet "Sepet dan Gubra Pencemar Budaya", hanya berjaya menonjolkan kekalutan dan kecetekan intelek mereka.
Forum TV, khususnya yang disiarkan oleh RTM, biasanya menjana dua reaksi yang bertentangan daripada penonton: samada debat dianggap mencabar intelek ataupun ahli panel dianggap cetek.
Malangnya, perbincangan forum Fenomena Seni, siaran TV1 pada malam April 23, 2006, jatuh ke dalam kategori kedua.
Kecuali pengarah filem Hassan Muthalib (yang merupakan satu-satu suara kewarasan), anggota panel yang lain - penolong pengarang hiburan Berita Harian Akmal Abdullah dan penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman - yang kononnya hadir untuk membincangkan tajuk tersepet "Sepet dan Gubra Pencemar Budaya", hanya berjaya menonjolkan kekalutan dan kecetekan intelek mereka.
Pertama sekali, ahli panel dan mereka yang menganggap diri sebagai pelindung moral masyarakat hanya merujuk 'budaya' yang dibincangkan dalam forum itu kepada budaya Melayu.
Pandangan yang sempit ini sudah pasti tidak dapat membahaskan ruang tanggapan Yasmin, iaitu Malaysia yang beraneka budaya serta masalah-masalah yang muncul daripada itu. Pandangan sempit ini juga membayangkan kedangkalan intelek mereka yang mengusahakan rancangan TV ini.
Seorang bilal penyayang
Akmal melepaskan das pertamanya dengan tuduhan bahawa Yasmin yang mengarah Sepet dan Gubra telah mencemarkan budaya dan agama Melayu-Muslim dengan beberapa adegan dan watak yang menyakiti diri beliau.
Misalnya, beliau nampak amat terganggu kerana Yasmin melakarkan watak bilal di dalam filem Gubra sebagai seorang yang alim dengan penuh kasih-sayang terhadap manusia dan makhluk lain, terutama sekali pelacur yang menjadi jirannya serta anjing yang hanya berkaki tiga.
Akan tetapi, sesetengah penonton akan tertanya samada lepasan emosi Akmal tidak mencemarkan keprofesyenalan kewartawanannya serta akhbarnya lebih-lebih lagi kerana beberapa ketika beliau kelihatan amat tidak sopan.
Si Bilal, tegas Akmal sepatutnya melaporkan kepada pihak berkuasa agama atau polis supaya menangkap dua orang pelacur Melayu-Muslim itu. Bilal jenis apakah ini? tanya Akmal.
Sebaliknya, Hassan mengingatkan kita bahawa Yasmin sebenarnya ingin menyedarkan kita supaya tidak cepat menghukum mereka yang 'berbeza', khususnya wanita yang dianggap berkedudukan rendah dan hina. Memang mudah mengutuk dari keselesaan mimbar atau pejabat berhawa dingin tanpa menyiasat atau berusaha memahami sebab-musabab seperti kemiskinan atau diskriminasi yang mengheret sesetengah wanita ke dalam kegiatan terkutuk.
Sikap mudah menyangkal, malah sikap angkuh inilah yang menyebabkan pihak tertentu, terutama sekali lelaki yang bergelumang dengan ideologi patriarki, mencirikan wanita sebagai 'gatal'. Dalam hal ini, pandangan lelaki amat mengancam!
Sebelum segolongan manusia angkuh ini mengutuk saya ke hala neraka, biarlah saya terangkan bahawa saya hanya memohon agar janganlah bertindak tidak adil terhadap orang seperti pelacur. Mereka, seperti kita juga, mempunyai sifat yang kompleks dan multi-dimensi, dan itulah yang Yasmin cuba paparkan dalam Gubra.
Maka, salah seorang daripada watak pelacur telah dengan sendirinya menghafal ayat-ayat al-Quran dan mula sembahyang ketika dia memilih untuk meninggalkan kerja itu setelah berjaya menyimpan wang untuk masa depan.
Kisah cinta yang terlarang?
Akmal juga begitu terdesak untuk mengkritik Yasmin kerana menonjolkan kisah cinta antara seorang gadis Melayu dan seorang lelaki Cina.
Menurut beliau, ini tidak menggambarkan realiti Malaysia! Bagaimanakah seorang gadis Melayu-Muslim boleh terpikat dengan seorang lelaki Cina-kafir? tanya Akmal. Tidakkah pertanyaan Akmal itu lebih mencerminkan minda Akmal yang terkeluar daripada realiti Malaysia.
Mengapa tidak kisah cinta seperti itu berlaku di dalam sebuah Malaysia yang beraneka budaya, beraneka agama dan beraneka bangsa?
Kerana Akmal hidup dalam alam khayalnya, maka Akmal langsung tidak menyedari bahawa filem Yasmin bukan sebuah filem Melayu tetapi sebuah filem Malaysia! Ia merupakan satu percubaan untuk memahami emosi, ketakutan, kerisauan serta kegembiraan yang wujud di dalam Malaysia yang beraneka budaya ini.
Kerana Akmal tidak bertapak di bumi Malaysia, malah dunia yang hakiki, maka bagi dia, perwatakan Muslimin di dalam filem Yasmin merupakan pengaruh perosak bagi penonton Malaysia atau, khususnya penonton Melayu.
Hassan membalas dengan tepatnya bahawa kematangan penonton Malaysia dan kebolehan mereka memahami kompleksiti sosial yang filem Yasmin cuba gambarkan tidak harus diragui.
Sesungguhnya, sikap pandang hina Akmal bukan hanya bertapak pada dirinya sahaja. Tidakkah Menteri Penerangan Zainuddin Maidin (Zam) menyatakan baru-baru ini bahawa penonton TV Malaysia tidak setanding dengan penonton TV BBC?
Dengan sikap begini, sudah tentu Malaysia tidak akan merdeka sekiranya Zam, yang kononnya nasionalis, memerintah Britain dahulu kerana rakyat Malaysia tidak setanding, dan belum bersedia.
Sikap yang serupa memang wujud di sebalik dakwaan menteri-menteri bahawa rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara walaupun sudah 48 tahun kita merdeka.
Ini membuat kita bertanya, siapakah yang belum bersedia: rakyat Malaysia atau orang yang mendakwa dirinya pemimpin, samada pemimpin politik, pemimpin akhbar, pemimpin budaya atau pemimpin agama?
Seolah-olah tidak mahu kalah kepada Akmal, Raja Azmi menyatakan pandangan benci terhadap filem Yasmin. Menurutnya, filem Sepet tidak harus dianugerahkan hadiah Filem Malaysia Terbaik tahun lepas.
Apabila ditanya kenapa oleh moderator, Rosyam Nor, Raja Azmi hanya jawab bahawa ada filem lain yang lebih baik -- tanpa sebarang alasan bagi penilaiannya ini.
Fahaman dangkal
Raja Azmi dengan giatnya membuktikan fahaman dangkalnya tentang Islam dengan kritikannya terhadap Yasmin kerana menggambarkan si Bilal di dalam filem Gubra sebagai seseorang yang sanggup membantu isterinya di dapur. Islam tidak membenarkan kelakuan yang sedemikian rupa, tegas Raja Azmi dengan penuh keyakinan.
Pandangan sempit dan serong inilah yang Yasmin cuba cabar dan tangani. Melalui filem beliau, Antara lainnya, Yasmin telah cuba mempersoalkan sikap syak-wasangka etnik, pandangan serong terhadap Islam, pandangan reaksioner terhadap hubungan antara lelaki dan wanita.
Malah beliau telah cuba menggoncang dan memprovokasi penonton filem-filemnya supaya meninggalkan andaian-andaian harian mereka dan meninggalkan zon selesa masing-masing.
Walaupun ada terdapat beberapa kelemahan dalam dua filem Yasmin ini, namun segala pujian harus diberikan kepada beliau kerana berani cuba mencabar minda penonton filem dan, sudah tentunya, para penapis filem.
Jika ada iktibar yang boleh kita perolehi dari apa yang dianggap sebagai forum TV ini, sesetengah pembuat filem dan pengkritik filem Melayu perlu mengatasi paradigma sosial yang lama dan amat terbatas.
Jika tidak, katak akan tetap berada di bawah tempurung di tengah-tengah proses globalisasi yang mencemaskan.
MUSTAFA K ANUAR ialah seorang pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

