Kebangkitan Gwangju 18 Mei - satu pengajaran
Bulan Mei merupakan bulan yang sangat bersejarah bagi penduduk Gwangju, Korea Selatan. Mereka pasti tidak melupakan sejarah Kebangkitan Gwangju pada tahun 1980 yang dipelopori oleh gerakan mahasiswa. Bagi generasi mahasiswa pada tahun tersebut yang masih hidup, mereka pasti masih terkenang pertempuran di antara aktivis mahasiswa dan tentera di hadapan pagar Universiti Kebangsaan Chonnam.
Bulan Mei merupakan bulan yang sangat bersejarah bagi penduduk Gwangju, Korea Selatan. Mereka pasti tidak melupakan sejarah Kebangkitan Gwangju pada tahun 1980 yang dipelopori oleh gerakan mahasiswa. Bagi generasi mahasiswa pada tahun tersebut yang masih hidup, mereka pasti masih terkenang pertempuran di antara aktivis mahasiswa dan tentera di hadapan pagar Universiti Kebangsaan Chonnam.
Seperti apa yang dikatakan oleh Park Seok Moo, Presiden "May 18 Memorial Foundation" (Yayasan Untuk Memperingati 18 Mei) dalam kata-kata aluannya dalam buku cenderahati sempena Pameran Bulan Mei Hong Sung Dam's (Hong Sung Dam's May Print Exhibition);
"Looking back 26 years ago, I remember the month of May in Gwangju. The memories of the wave of demonstrators in Geumnam-no and the resolute standing of Civil Forces defending the City Hall still haunts me like it was yesterday. This is why my heart grows warm in May every year. I thank and pray for the souls of democratic patriots who spent those ardent days of May. They will be remembered in my heart as long as I live."
Sejarahnya bermula pada 26 Oktober 1979 apabila Park Chung Hee, Presiden Korea Selatan ditembak mati oleh Kim Jaegyu seorang pengarah KCIA yang juga bekas sahabat baiknya. Park Chung Hee telah dibunuh kerana dikatakan menjadi penghalang kepada demokrasi. Kim Jaegyu mendakwa tindakannya membunuh Park Chung Hee merupakan satu tindakan yang patriotik.
Seluruh negara menjadi gempar apabila tragedi ini berlaku. Manakala pada 12 Disember 1979. pihak tentera telah melakukan rampasan kuasa. Maka pemerintahan diktator tentera pun berjalan di bawah pimpinan Jeneral Chun Doo Hwan. Pemerintahan diktator tentera tidak disenangi oleh rakyat jelata maka demonstrasi-demonstrasi telah dianjurkan untuk membantah rampasan kuasa ini.
Sebagai jawapan kepada demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan, Jeneral Chun Doo Hwan telah menisytiharkan darurat pada 17 Mei 1980 bagi menekan para penunjuk perasaan di seluruh negara. Maka pada 18 Mei 1980, kira-kira 100 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Chonnam telah berarak ke arah pintu pagar Universiti Kebangsaan Chonnam yang telah dikepungi oleh tentera sambil menjeritkkan slogan "berambus tentera".
Pihak tentera telah bertindak ganas dalam menangani demonstrasi ini. Tentera memukul para mahasiswa, menahan dan menggeledah rumah-rumah orang awam untuk mencari aktivis pelajar.
Untuk memberitahu seluruh rakyat tindakan ganas tentera, mahasiswa telah meneruskan demonstrasi di jalananan dan ini telah menjadi pencetus kepada peristiwa bersejarah "Kebangkitan Gwangju 18 Mei".
Pada 20 Mei 1980, majoriti rakyat Gwangju telah menyertai demonstrasi mahasiswa dan mereka telah menawan dan membakar stesen TV MBC kerana mereka mendakwa MBC telah memberikan laporan yang salah tentang para demonstrasi dan tidak melaporkan tentang keganasan yang dilakukan oleh tentera.
Kebangkitan rakyat
Pada 21 Mei 1980, 300,000 rakyat telah menyertai demonstrasi menentang kekuasaan Jeneral Chun Doo Hwan. Tempat simpanan senjata dan balai polis telah ditawan dan senjata telah dirampas oleh rakyat. Mereka telah menubuhkan Tentera Rakyat yang telah melawan semula tentera yang mengganas.
Hampir semua jalan keluar masuk ke Gwangju telah dikepung oleh pihak tentera pemerintah. Namun rakyat5 yang tinggal di bandar tersbeut telah bergabung dan membentuk sebuah komuniti yang efektif. Wakil komuniti telah dilantik untuk mengawal keamanan dan untuk berunding dengan kerajaan diktator tentera.
Keamanan telah dipulihkan tetapi rundingan dengan kerajaan gagal. Pada 27 Mei 1980, kerajaan diktator tentera pimpinan Jeneral Chun telah menghantar Unit Khas dari 5 divisi tentera untuk merempuh masuk ke bandar Gwangju dan pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan.
Semasa pemerintahan diktator Jeneral Chun, kerajaan mengatakan bahawa pemberontakkan yang berlaku di Gwangju merupakan pemberontakan Komunis. Tetapi setelah rakyat Korea Selatan menamatkan pemerintahan diktator tentera pada 1987, "Kebangkitan Gwangju 18 Mei" telah mendapat pengiktirafan sebagai Gerakan Demokrasi melawan pemerintahan diktator dan diiktiraf sebagai usaha untuk menempatkan sistem demokrasi di Korea Selatan.
Selepas tamatnya pemerintahan diktator Jeneral Chun, kerajaan baru telah memohon maaf secara formal kepada penduduk Gwangju dan telah membina Tugu Peringatan untuk para pejuang yang terkorban dalam "Kebangkitan Gwangju 18 Mei."
Pada tahun 1994, para pejuang yang terselamat dalam Kebangkitan Gwangju Mei 18 telah mendirikan sebuah yayasan yang dinamakan " May 18 Memorial Foundation". Yayasan ini telah mendapat dana daripada kerajaan hasil daripada duit cukai yang dikutip daripada rakyat Korea Selatan.
Itulah serba sedikit sejarah ringkas mengenai tragedi yang pernah berlaku di Gwangju, Korea Selatan pada tahun 1980 dahulu. Semenjak tahun 1994, bulan Mei merupakan bulan yang paling banyak perayaan diadakan di kota Gwangju. Mereka mengadakan konsert, teater dan drama untuk memperingati peristiwa bersejarah itu.
Untuk mengiktiraf perjuangan menegakkan hak asasi manusia dan demokrasi di seluruh dunia, " May 18 Memorial Foundation" telah mengadakan Anugerah Gwangju untuk Hak Asasi Manusia yang pernah dimenangi oleh Xanana Gusmao dari Timur Timor, Aung San Suu Kyi dari Myanmar dan Wardah Hafidz, rakyat Indonesia.
Peristiwa yang berlaku di Gwangju ini seharusnya menjadi inspirasi kepada semua gerakan pro-demokrasi di seluruh dunia.
Tiada kemenangan yang mudah untuk diperolehi tanpa perjuangan yang panjang. Cengkaman pemerintahan diktator tentera bukanlah penghalang kepada perjuangan untuk menegakkan demokrasi. Memang ada nyawa yang akan melayang dan ada harta yang akan hilang, tapi itulah adat perjuangan.
Seperti apa yang dikatakan oleh tokoh revolusi Cuba, Ernesto Che Guevara " We cannot be sure of having something to live for unless we are willing to die for it" (Kita tidak boleh memiliki sesuatu dalam hidup ini melainkan kita bersedia untuk mati bagi mendapatkannya).
AMIN ISKANDAR merupakan seorang penulis bebas. Beliau sekarang ini berada di Gwangju, Korea Selatan untuk bekerja selama satu tahun dengan May 18 Memorial Foundation. Beliau boleh dihubungi di amin.iskandar@gmail.com.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.