'Jenayah PDRM jejaskan nama baik Malaysia
Keganasan polis yang berlaku pada 28 Mei 2006 yang lalu terhadap demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik adalah satu bukti yang Malaysia adalah sebuah Negara Polis. Mereka sangat kebal!
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak dapat melakukan apa-apa terhadap Polis. Cadangan beliau untuk menubuhkan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis) telah ditolak oleh PDRM.
Keganasan polis yang berlaku pada 28 Mei 2006 yang lalu terhadap demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik adalah satu bukti yang Malaysia adalah sebuah Negara Polis. Mereka sangat kebal!
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak dapat melakukan apa-apa terhadap Polis. Cadangan beliau untuk menubuhkan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis) telah ditolak oleh PDRM.
Bukan sahaja tidak dapat mengawal PDRM, Pak Lah juga gagal untuk mendapat sokongan daripada Parti UMNO yang dipimpinnya. Perubahan yang ingin Pak Lah lakukan ternyata gagal menjadi kenyataan. Imej PDRM yang ingin dibersihkan tidak akan menjadi kenyataan.
Kes kematian dalam lokap sering didedahkan. Sehingga kini tidak ada tindakan yang tegas diambil malahan pengadu pula menerima padahnya seperti apa yang berlaku kepada peguam P. Uthayakumar yang pernah diganasi oleh pihak polis satu ketika dahulu kerana membongkar mengenai kes kematian di dalam lokap.
Ketua Polis Negara, Mohamed Bakri Omar yang pernah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan pantas terhadap aduan keganasan dan salahlaku polis pada Oktober 2005 juga dilihat gagal untuk memperbaiki imej PDRM.
Beliau yang pada mulanya menyokong saranan Pak Lah untuk menubuhkan IPCMC telah berpaling tadah kerana telah menjadi tidak popular di dalam PDRM. Malahan sekarang beliau begitu lantang sekali mengkritik usaha-usaha untuk menubuhkan IPCMC. Malahan menggugut kerajaan BN yang mereka akan mengundi pembangkang jika IPCMC ditubuhkan.
Ugutan tersebut mendedahkan pekung di dada PDRM. Sepatutnya pihak Polis berdiri sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik. Polis tidak boleh memihak kepada mana-mana parti. Kenyataan ugutan bahawa mereka akan mengundi pembangkang sekiranya IPCMC ditubuhkan telah membenarkan tuduhan bahawa undi-undi pos daripada pihak polis telah digunakan untuk membantu kemenangan BN.
Jika kita temuramah semua bekas tahanan ISA, kita akan mendengar pelbagai macam kes penderaan yang dilakukan semasa tempoh penahanan 60 hari. Bacalah buku yang ditulis oleh Saari Sungib, Syed Husin Ali dan banyak lagi tentang penderaan yang dilakukan oleh polis. Tidak ubah seperti apa yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat terhadap rakyat Iraq yang dipenjarakan.
Jika ditemuramah anak-anak muda di Kuala Lumpur, pasti majoriti akan menceritakan bahawa mereka pernah menjadi mangsa ujian air kencing secara rambang. Yang bernasib baik akan ada penjamin dan peguam yang membantu. Yang tidak bernasib baik akan tinggal di dalam lokap selama 14 hari sehingga keputusan air kencing keluar.
Bangla dan Black Metal
Anak-anak muda yang mempunyai bakat seni untuk bermain muzik juga tidak terlepas dari keganasan polis. Lihatlah apa yang berlaku di Paul Place pada malam tahun baru tempoh hari. Anak-anak muda yang membuat persembahan muzik juga telah diangkut beramai-ramai dan ditahan di dalam lokap. Black Metal dijadikan alasan.
Seorang pemandu teksi (mahu namanya dirahsiakan) di kawasan Ampang Jaya juga pernah ditahan oleh polis kerana ujian air kencing ketika beliau sedang menunggu penumpang di sebuah stesen LRT. Terpaksalah beliau menunggu di lokap sehingga lewat malam untuk menunggu keputusan air kencingnya yang terbukti negatif.
Walaupun dibebaskan selepas itu, beliau tetap marah kerana periuk nasinya telah diganggu oleh polis yang selama ini beliau percayai akan menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
Pekerja asing juga tidak terlepas dari cengkaman keganasan dan kejahatan polis. Tanyalah semua pekerja dari Indonesia, India, Burma, Nepal dan lain-lain, pasti 99 peratus akan memberitahu yang mereka pernah dikasari polis. Duit mereka pernah dirampas. Pekerja-pekerja restoran dari India yang berhampiran dengan tempat tinggal saya di Bangsar Utama juga pernah mendakwa ada polis meminta wang dari mereka. Jika wang tidak diberikan, mereka diugut akan dihantar ke dalam lokap.
Sudah tentu pelancong dari China yang dibogelkan akan menyebarkan cerita itu kepada seluruh tanah besar itu. Begitu juga pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Nepal, Filipina dan India juga akan melakukan tindakan yang sama. Maka rakyat Malaysia pun akan dipandang hina diperingkat antarabangsa sedangkan yang mengganas ialah Polis Diraja Malaysia.
AMIN ISKANDAR seorang penulis bebas dan kini berada di Gwangju, Korea Selatan untuk bekerja selama satu tahun dengan May 18 Memorial Foundation. Beliau boleh dihubungi di amin.iskandar@gmail.com.

