Catatan isteri seorang tahanan ISA (Bhg akhir)
Tanpa disedari, pejam celik-pejam celik, telah hampir 4 tahun suami saya ditahan. Selama 2 tahun kedua ini, saya rasa, tindakan saya lebih agresif lagi.
Dalam jangka masa 2 tahun kebelakangan ini, sewaktu bertemu kawan-kawan, ramai sangat yang mencadangkan saya bertemu dengan Menteri atau lebih baik jika dapat berjumpa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi @Mr PM.Semua cadangan itu saya terima dengan positif.
Tanpa disedari, pejam celik-pejam celik, telah hampir 4 tahun suami saya ditahan. Selama 2 tahun kedua ini, saya rasa, tindakan saya lebih agresif lagi.
Dalam jangka masa 2 tahun kebelakangan ini, sewaktu bertemu kawan-kawan, ramai sangat yang mencadangkan saya bertemu dengan Menteri atau lebih baik jika dapat berjumpa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi @Mr PM.Semua cadangan itu saya terima dengan positif.
Setakat ini, saya telah bertemu 3 kali dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz, dua kali dengan Menteri Wanita & Pembangunan Keluarga, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan pada bulan Februari tahun ini, saya telah berjaya menemui Perdana Menteri @ Menteri Dalam Negeri.
Tujuan saya a cuma satu, iaitu minta supaya suami dibebaskan. Walaupun Perdana Menteri pernah mengatakan 'InsyaAllah', ketika kami tanya samada beliau akan membebaskan tahanan di Kamunting, namun hingga ke hari ini, tahanan masih ditahan.
Mereka hanya akan dibebaskan sekiranya mengalami sakit tenat yang boleh membawa kematian!
Dan pada ketika ini, apabila saya bertemu kawan-kawan, mereka hanya meminta saya bersabar dan banyakkan solat hajat.
"Manalah tahu, hati PM akan lembut dan seterusnya akan membebaskan semua tahanan di Kem" keluh mereka.
Terimakasih dengan segala peringatan itu. Saya sentiasa bermunajat, biarlah suami saya bebas sebagai insan yang mempertahankan haknya sebagai seorang Muslim yang bebas mempraktikkan keimanannya.
Saya tidak mahu dia dibebaskan kerana mencipta satu sejarah baru iaitu sebagai salah seorang militant ahli 'Jemaah Islamiyyah' (JI). Dalam Islam tiada istilah militant seperti mana fitnah yang dilemparkan ke atasnya oleh orang-orang yang zalim itu.
Sebagai manusia biasa, ada ketikanya saya merasa down yang teramat sangat. Secara kebetulan, di saat seperti itu, ada pula suara-suara yang bunyinya macam orang putus asa saja apabila mengingatkan saya " kita ni timum, menteri tu pisau, kalau kita menggolek, kita yang luka, kalau kita digolek, lagilah hancur." Ah terasa semakin down jadinya
Alhamdulillah, setakat ini, kata-kata tersebut belum lagi melemahkan saya. Namun tidak dinafikan, sesekali saya terkejut juga dengan nasihat yang sedemikian yang datangnya dari orang-orang yang berpendidikan tinggi, tetapi rupanya masih jahil dalam mengenali ISA ini.
Untuk golongan ini, saya berdoa semoga Allah akan membukakan minda mereka agar berusaha mengenali kedurjanaan ISA ini.
Pengaruh Amerika
Pada Isnin, 12 June lalu genaplah 4 tahun suami saya menjadi penghuni Kem Kamunting . Ada kemungkinan tahanan akan dibebaskan dipenghujung tempoh tersebut.Tapi kalau melihat keadaan di kem, secara logiknya peluang untuk bebas itu amat tipis, kecuali ada terjadi miracle . Tahanan memang diperlukan untuk memastikan survival politik Menteri berkenaan.
Kadang-kadang apabila difikirkan, pelik juga. Sudah pelbagai usaha dan kempen dijalankan tetapi kenapa susah sangat kumpulan JI hendak dibebaskan? Angin yang bertiup dari Kementerian Dalam Negeri mengatakan, sukar untuk membebaskan tahanan ketika ini kerana Malaysia mendapat tekanan yang hebat dari Amerika.
Samada tahanan tersebut benar-benar pengganas atau tidak, sudah tidak timbul. Masaalahnya sekarang, Malaysia terpaksa membuktikan bahawa di negara ini ada sekelompok 'pengganas' yang sengaja disimpan untuk memuaskan nafsu Bush! Ia ke?
Bagiku, kenyataan ini bukanlah suatu yang baru. Sejak hari pertama penahanannya, aku mengesyaki, bahawa suamiku dijadikan 'kambing hitam' oleh pihak berkuasa untuk memastikan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Washington berada dalam suasana yang baik.
Sampai hati pemimpin negara ini menzalimi rakyatnya sendiri hanya kerana ingin mengambil hati kuasa asing. Atau adakah pemimipin tersebut mendapat lebih dari itu?
Buat masa ini, saya dan Suhaib telah membulatkan tekad, samada suamiku dibebaskan atau tidak, kehidupan wajib diteruskan dan kami akan terus memperjuangkan nasib semua tahanan ISA yang masih menghuni Kem Kamunting.
Saya yakin, lambat laun, kezaliman akan dapat dikalahkan oleh keadilan dan kebenaran.Hanya masa yang menentukan segalanya.Lagi pun, kami berdua tidak akan rugi apa-apa kerana sepanjang kami dianiaya dan dizalimi, kami yakin, Allah akan menggantikan segala kesusahan itu dengan pahala yang tidak ternilai harganya.
Bagi mereka yang sedang menganiaya kami, amat kami yakini bahawa Allah yang maha berkuasa akan memberi balasan yang setimpal dengan kezaliman yang sedang mereka lakukan ke atas kami.
Hanya faktor masa yang akan menentukannya. Namun pada masa yang sama, kami amat berharap rakyat akan bangun untuk memberikan sokongan kepada kami, mangsa yang dizalimi ini.
Sekali lagi kami ulangi, jika tahanan ISA itu benar-benar salah, hadapkanlah ke mahkamah. Jika tindakan itu tidak sanggup dilakukan oleh pihak berwajib, lebih baik bebaskan saja semua tahanan itu sementara mereka masih bernyawa lagi
Lanjutan tahanan
Petang 12 Jun lalu saya menerima satu panggilan telefon dari suami yang masih berada di Kem Kamunting. Memang agak berdebar menerima panggilan darinya dan gerak hati saya dapat menjangka, pasti ada berita yang kurang menyenangkan bakal diterima. Saya pasrah dengan sebarang kemungkinan.
"Penahanan abang disambung 2 tahun lagi...." suaranya antara kedengaran dan tidak dihujung sana.Kemudian kami berbual beberapa minit sementara talian belum diputuskan oleh pihak berkuasa kem.
Tiba-tiba saya rasa seram sejuk, macam hendak demam.Saya beristighfar beberapa kali, kemudian membuat panggilan kepada salah seorang teman aktivis Gerakan mansuhkan ISA (GMI) memberitahunya tentang perlanjutan tersebut untuk dimasukkan dalam 'press statement' GMI esok.
Saya cuba mencari kekuatan dengan menghantar SMS kepada kawan-kawan yang rapat dengan saya.Dan orang pertama yang menghubungi saya ialah Nashita. Agaknya aura keresahan saya telah sampai padanya mendahului yang lain.Susah hendak dinyatakan apakah perasaan saya ketika itu, tapi yang jelas, saya sudah tidak boleh menangis lagi.
"Sorry to know the extension of your beloved husband.Allah knows better why diuji berterusan.Yang pasti, Al Quran ada sebut, ujian akan naikkan makam hambaNya yang sabar", begitulah kata-kata SMS yang diterima dari salah seorang teman rapat saya.
Kemudian berbelas-belas SMS lain masuk ke inbox handphone . Semua kata-kata itu amat berharga, bermotivasi dan sedikit sebanyak mengembalikan semangat saya untuk berpijak di bumi nyata.
Terima kasih pada semua.Semua pesanan itu umpama air sejuk yang menjadi penawar dan memadamkan api kemarahan di saat ini.
Saya terima semua ini sebagai ujian dariNya. Mungkin jika tidak diuji seperti ini, saya tetap akan diberi ujian yang lain, yang mungkin setaraf dengan apa yang sedang dihadapi sekarang.Ya, Allah lebih mengetahui hikmah sesuatu kejadian itu.
Saya selalu membayangkan bagaimanakah keadaan Hajar yang ditinggalkan oleh suaminya di tengah gurun pasir yang tandus, tanpa manusia dengan hanya bertemankan seorang bayi kecil yang tidak mengerti apa-apa.Usaha Hajar berlari-lari anak menuruni bukit Safa dan Marwa untuk mendapatkan air bagi bayinya yang kehausan bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak dapat digambarkan kesukarannya ketika itu.
Ujian yang Allah beri pada saya tidaklah sehebat Hajar.Bezanya amat jauh sekali, bagai langit dengan bumi.
Saya redha dengan ujian ini, tapi saya tetap tidak redha dengan perbuatan insan lain menzalimi kami sekeluarga.Selagi ada nyawa, usaha mesti diteruskan, dan selebihnya saya serahkan pada Allah SWT untuk menyelesaikannya.
Jika didunia hak kami dinafikan, maka kami akan tuntut segalanya di akhirat kelak. Saya amat berharap mendapat sokongan yang berterusan dari anda semua...
Catatan isteri seorang tahanan ISA (Bhg 1)
Norlaila Othman adalah isteri tahanan ISA, Mat Sah Bin Mohd Satray (2002-2008).

