Kumpulan pengkritik yang selalunya lantang menghentam Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abdul Taib Mahmud tiba-tiba senyap. Jika dihubungi pun tidak semena-mena kini memuji kebijaksanaan Taib. Malah ada juga yang sudah maju selangkah mengiklankan ucapan tahniah kepada anak saudara Taib yang selama ini dicaci-maki mereka.

Musuh kini sudah menjadi bagaikan kekasih, manakala sahabat dahulu kini sudah menjadi seteru. Namun Taib tetap nombor satu. Belum ada tandingan atau tanda-tanda siapakah nombor dua sebenar-benarnya di Sarawak.

Taib memang bijak berpolitik. Musuh yang mengutuknya cuma berani dari belakang atau berlindung dengan imuniti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika berani, ulangi kenyataan di luar Dewan, tetapi sehingga kini cabaran Taib itu belum berjawab.

Taib yang menggunakan tiket kaum minoriti Melanau, kini menguasai Sarawak. Bukannya setahun, malah sudah memasuki 26 tahun. Sebelum itu, ayah saudaranya Tun Abdul Rahman Yaakub menerajui Sarawak selama 10 tahun.

Selain bakat semulajadi, perpaduan serta ikatan ukhwah sesama Melanau sukar disaingi etnik lain.

Berdasarkan susur-galur keluarga Taib yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman kepada saya baru-baru ini, mereka berketurunan Bangsawan Melayu dari Selatan Thailand.

"Wan Abdul Rauf telah pergi ke Mukah dan menginap di ruma pembesar Melanau, Pehin Setia Raja Abang Manai dan beliau telah menjodohkan anaknya Wan Yusuf dengan Dayang Mas Ayu melahirkan ayah saya, Ya'akub," jelas Rahman Yaakub kepada saya.

Moyang mereka, Wan Abdul Rauf telah berkahwin dengan anak gadis Abang Manai pembesar Mukah yang berkhidmat untuk Sultan Brunei, yang menurut Rahman Ya'akub, seorang patriot yang pernah memberontak melawan Brooke.

Malah sepanjang perbualan kami, Abdul Rahman berkali-kali menegaskan beliau merupakan keturunan Saiyidina Ali berdasarkan salasilah yang dihantar kaum keluarganya dari Siam.

Sesiapa yang berkeinginan hendak melihat salasilah itu, bolehlah berkunjung ke perpustakaan beliau di Petra Jaya atau membelek buku tulisan Mohammad Asfia Awang Nassar di Pustaka Negeri Sarawak kerana ia tertera dalam sebuah buku yang saya tidak pernah terfikir langsung untuk membacanya.

Tidak mustahil kegemilangan keluarga Taib akan diteruskan dalam sidang agung PBB kali ini .

Pertembungan atau perlagaan

Sesudah pemilihan tahun 1988 menyaksikan Sulaiman Daud terjatuh dari kerusi Timbalan Presiden akibat dikalahkan oleh Abang Abu Bakar Abang Mustapha, sepuluh tahun kemudiannya, Adenan Satem pula terjelepok ketika bersaing dengan Abang Johari Abang Openg (foto) ketika cuba merebut kerusi itu dari tangan Abang Abu Bakar.

Insiden perang saudara pemimpin etnik yang membahasakan diri mereka Melayu Sarawak tetapi dipanggil oleh etnik Iban sebagai 'Laut' dan orang Melanau khususnya dari delta Kuala Rejang sebagai 'Keling' mengundang begitu banyak persoalan.

Ada yang menuding jari kononnya mereka diperalatkan serta dilagakan. Tidak kurang pula yang bertepuk tangan gembira melihat mereka berlawan sesama sendiri sedangkan kemampuan sebenar tidak sampai ke mana.

Perkataan yang kerap digunakan oleh Abdul Rahman untuk menilai seorang pemimpin kanan Sarawak ialah 'nothing upstair' menggambarkan betapa liciknya suku-sakat Taib dalam berpolitik sehingga kuasa kekal dalam lingkungan juak mereka.

Seperti biasa, introduksi sebelum berlaku perlawanan ini cukup panjang. Kempen serta rapat-rapat umum akan dijalankan selama berbulan-bulan. Bagi yang punya banyak wang serta disokong oleh tangan-tangan ghaib, wajah mereka pasti terpampang di akhbar serta stesen TV masing-masing.

Segala-galanya berlaku dalam suasana penuh hemah. Jika kumpulan A mengadakan konsert membawa masuk artis seksi, kumpulan B sudah semestinya meraih simpatai dengan majlis membaca yassin di surau atau masjid. Walhal, A atau B, lebih kurang sama sahaja dan pokoknya keduanya adalah ahli politik.

Anehnya, kali ini hampir 10 tahun selepas pertembungan Adenan dan Johari, pemilihan tahun 2007 yang bakal diadakan di Miri kali ini begitu sunyi sepi. Tiada 'fireworks' langsung.

Umum sudah semestinya masih ingat bagaimana Adenan, atau mungkin juga ramai yang sudah lupa bagaimana rupa Adenan kerana beliau kini hanyalah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa portfolio yang begitu 'low profile'.

Berbeza dengan aktiviti-aktiviti yang padat dan sentiasa menghiasi muka hadapan semua muka hadapan akhbar utama tempatan Sarawak dua tahun lalu, kini Adenan sudah lenyap dari liputan. Namanya semakin jarang disebut.

Jika dahulu kepulangannya disambut dengan kompang serta bunga manggar di lapangan terbang, kini beliau khabarnya cuma disapa oleh Johari di majlis-majlis besar, itupun berkat pengalaman Johari sendiri dalam isolasi selama sedekad sebelum ini.

Pembasmian pengaruh

Jika ada desas-desus tentang perubahan dalam pemilihan PBB itu nanti, hanyalah penyilangan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita antara sayap Bumiputera dan Pesaka.

Bumiputera dijangka mengambil-alih kerusi Ketua Pemuda yang menyaksikan Abdul Karim Rahman Hamzah menggantikan tempat Douglas Uggah Embas dalam sayap pergerakan itu manakala Ketua Pergerakan Wanita Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi (foto) mengosongkan kerusi itu untuk digantikan oleh Timbalannya, Empiang Jabu, isteri Timbalan Ketua Menteri Alfred Jabu Numpang.

Mordiah dijangka bersara setelah memberikan laluan kepada anaknya Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam pilihanraya negeri yang lalu, manakala anaknya disebut-sebut bakal menjadi setiausaha pergerakan wanita.

Empiang sememangnya diketahui umum sebagai kekuatan sebenar Alfred Jabu (foto). Tidak lama selepas pilihanraya Parlimen beliau dilantik menjadi Senator. Terkini beliau sudah menumbangkan seekor lembu bersempena Hari Raya Korban persoalan hukumnya di luar bidang pengetahuan saya tetapi isyarat yang dihantar cukup jelas.

Mungkin sudah tiba masanya para YB beragama Islam yang punyai lima enam buah kereta mewah mengikut jejak langkah Empiang mengingati golongan kurang berada di musim perayaan dan bukannya menjelang pilihanraya sahaja.

Walaupun loceng bakal berbunyi tida lama lagi, suasana tertib dan tidak nampak tanda-tanda bakal berlakunya pergelutan kuasa seperti tahun-tahun sebelum ini yang telah mendatangkan keretakan serius dalam PBB. Ia mungkin tanda kematangan berpolitik PBB berbanding percakaran hebat dalam SUPP dan PRS.

Jika ada protes atau rasa tidak puashati, segala-galanya ditunjukkan secara berlapik, misalnya dengan tidak menghadiri mesyuarat atau seminar yang dianjurkan oleh kem-kem bertentangan. Setakat ini, belum ada pihak yang menggunakan media massa baik perdana mahu pun alternatif untuk menembak lawan.

Kempen kedai kopi

Jika hendak dijumlahkan SMS mengucapkan Tahun Baru serta Hari Raya Aidil Adha, nampaknya tahun inilah yang paling kecil yang pernah saya rekodkan. Maknanya tidak ramai yang berkempen.

Dalam tahun 2005 dan 2006, terdapat VIP yang tidak putus-putus menasihati saya supaya melaraskan semula idealisme politik saya. Mereka biasanya menikmati kopi bersama saya dan bercakap dengan suara yang lebih kuat jika kedapatan anak saudara atau suku-sakat Taib dalam kedai yang sama.

Selain menghentam pihak yang dikatakan 'out of favour' mereka juga berkali-kali memberitahu saya bakal ada perlawanan ketika itu. Tup, tup, perlawanan dibatalkan manakala Adenan (foto) tiba-tiba 'disejuk-bekukan'.

Bedebuk, Effendi Norwawi pula menyatakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Naib Presiden PBB dan ingin bersara. Malahan, saya sudah dimaklumkan oleh Rahman Yaakub bahawa Effendi ingin bersara serta tidak berminat untuk menjadi Ketua Menteri.

Rahman Ya'akub juga memberitahu saya bahawa Effendi (foto) merupakan satu-satunya bekas anak didik beliau yang masih mengenang budi. Maka, sepertimana pemimpin-pemimpin lain.VIP tadi kini khabarnya sibuk pula berbaik-baik dengan calon yang disebut-sebut bakal menggantikan Taib, iaitu Awang Tengah Ali Hassan.

Berbeza dengan beberapa pemimpin muda seangkatan dengannya yang begitu menonjol serta disebut-sebut bakal menjadi Ketua Menteri, Tengah ketika saya jumpai kira-kira 10 tahun yang lalu di pejabatnya, menegaskan, "Jika kita cepat sangat naik, cepat pula jatuh".

Ketika itu Awang Tengah merupakan Timbalan Ketua Pemuda PBB dan persoalan yang saya ajukan ialah Pemuda ketika itu sudah tidak punya kerusi menteri berikutan persaraan Ketua Pemuda PBB Celestine Ujang Jilan yang ketika itu merupakan Menteri Perumahan Sarawak.

Walaupun diserang bertubi-tubi oleh saingan politiknya, termasuk diboikot daripada disiarkan di akhbar milik syarikat yang berkaitan dengan PBB, Tengah tidak melenting dan sentiasa mengamalkan sikap mesra dengan wakil media syarikat berkenaan.

Malahan, ramai pemberita tempatan yang pernah termakan budinya pasti tidak dapat menafikan kebijaksanaan Awang Tengah dalam berpolitik. Jika usaha kebangkitan kumpulan Abang dan Wan terhalang di pertengahan jalan, mungkinkah tahun 2007 menyaksikan kegemilangan kumpulan Awang?

Yang pasti, setakat ini Rahman Yaakub sudah meramalkan Awang Tengah bakal menjadi pengganti Taib. Dalam kita menyebut-nyebut Awang Tengah, jangan lupa Muhammad Faizanuddin.

Tidak mustahil jika Muhammad Faizanuddin membuat kejutan. Siapa Muhammad Faizanuddin? Tidak ramai yang tahu Faizanuddin ialah bekas menteri pusat dan merupakan maib presiden PBB. Kita singkap misteri pemilihan PBB yang paling sunyi secara perlahan-lahan.

ABDUL HAKIM BUJANG pernah berkhidmat dengan Bernama, Sarawak Tribune dan Borneo Post, selain pernah menyumbang berita kepada NST dan TV3. Beliau juga pernah memenangi anugerah Kewartawanan Shell Kenyalang 2004.