UNDI18 beri dinamik baru dalam sistem demokrasi negara
PRN Johor bakal menyaksikan detik bersejarah apabila anak muda berumur 18, 19 dan 20 tahun buat kali pertamanya dibenarkan untuk menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara selepas diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.
Pelaksanaan UNDI18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun. Ini merupakan penambahan hampir 30 peratus kepada jumlah pengundi di Johor sedia ada. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor adalah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata UNDI18 adalah bukti keyakinan kerajaan terhadap golongan belia dan inisiatif ini juga akan menggalakan anak-anak muda mengambil bahagian dalam proses pembangunan negara. Kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan orang muda kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara.
Menurut pensyarah dari Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Syed Alsagoff, penglibatan anak muda yang semakin meningkat dalam arena politik merupakan satu perkara yang positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas lagi. Beliau percaya bahawa ramai golongan belia akan turun untuk mengundi untuk PRN Johor yang bakal datang.
“UNDI18 dalam PRN Johor tidak boleh dikatakan sebagai penanda aras untuk negeri lain sebaliknya ia merupakan satu situasi perkembangan politik yang lebih sihat. Ini kerana untuk kali pertama golongan belia berusia 18 dan ke atas akan turut bersama menjayakan pilihan raya negeri tersebut,” katanya.
“Hasrat anak-anak muda hari ini adalah untuk mengundi pemimpin yang boleh menjalankan tanggungjawab yang baik untuk kawasan mereka dan rata-ratanya akan memilih calon daripada memilih parti. Mereka mahukan calon-calon yang bersedia untuk bekerja selepas pilihan raya”.
Faktor penting yang perlu diambil kira oleh rakyat dalam UNDI18
Selain daripada melihat keupayaan calon, parti politik juga perlu dilihat sebagai ukuran pencapaian dalam pilihan raya negeri atau pilihan raya persekutuan. Mana-mana parti yang berjaya menubuhkan kerajaan, haruslah berperanan menyelesaikan masalah-masalah rakyat, menaiktaraf pembangunan negeri tersebut dan menemukan kelestarian demokrasi pemimpin di Malaysia.
Apakah perasaan anda mengundi buat kali pertama?
“Perasaan saya untuk mengundi buat kali pertama adalah agak bercampur baur. Saya berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama saya dapat mengundi manakala pada masa yang sama saya berasa agak risau dengan keputusan yang akan keluar nanti,” kata Faris Karim, pelajar jurusan Bacelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia.
Apakah perubahan yang akan dibawa oleh UNDI18?
Pelulusan rang undang-undang UNDI18 oleh wakil rakyat adalah petunjuk pertumbuhan sebagai sebuah negara demokrasi dan kesediaan Malaysia untuk menerima sepenuhnya konsep dan kepercayaan bahawa setiap anggota masyarakat harus mempunyai suara dalam memilih wakil mereka. Selain itu, pemimpin muda yang dinamik dan progresif mampu membawa negara menuju kejayaan yang diimpikan oleh semua.
Pihak yang bertanggungjawab perlu merangka strategi dan usaha dalam beberapa program khusus untuk golongan belia negara ini bagi memberi kesedaran secara berterusan mengenai hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

Menurut Muhammad Hamizan, pelajar daripada Universiti Utara Malaysia, pelaksanaan UNDI18 akan dapat merapatkan jurang antara ahli politik, penggubal dasar dan belia. Oleh itu, golongan muda perlu didedahkan oleh topik mengenai politik supaya mereka mendapat kesedaran tentang apa yang berlaku di negara dan menjadi pengundi yang berilmu.
Dalam dunia berlatarkan teknologi terkini, golongan muda kita sudah mengambil tahu mengenai politik dan keupayaan mereka untuk menilai mana yang baik atau tidak. Kematangan seseorang tidak boleh diukur dari segi usia, sebaliknya ia boleh ditampilkan melalui perilaku dan cara berfikir.
Dengan adanya pendaftaran pemilih automatik, pemilih yang layak tidak perlu lagi mendaftar sebagai pemilih tetapi sebaliknya hanya perlu melakukan semakan pemilih melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my/ untuk menyemak status kawasan lokaliti tempat pengundian mereka.
This content is provided by 99 Media.

