Prestasi kewangan KPJ Healthcare Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (S2 TK2025) mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam hasil dan keuntungan yang disokong oleh peningkatan bilangan pesakit, pendapatan purata yang lebih tinggi bagi setiap kes serta kapasiti perkhidmatan yang diperluas di seluruh Kumpulan.

Kumpulan merekodkan peningkatan hasil sebanyak 11% kepada RM1,024 juta berbanding RM925 juta pada suku yang sama tahun lalu.​ Pertumbuhan ini disokong oleh jumlah pesakit yang lebih tinggi, peningkatan jumlah pembedahan serta purata hasil setiap kes pesakit dalam yang lebih baik, sekaligus mencerminkan tahap kerumitan klinikal dan kepelbagaian kes yang meningkat.

Keuntungan sebelum cukai meningkat 10% kepada RM131 juta, manakala EBITDA meningkat 9% kepada RM250 juta.​ Peningkatan ini mencerminkan tumpuan operasi Kumpulan yang berterusan, jumlah kes yang lebih tinggi serta peningkatan kecekapan dalam penyampaian penjagaan, walaupun dengan kapasiti perkhidmatan yang telah diperluas.

PATAMI meningkat 8% ke RM82 juta. ​Pencapaian ini didorong oleh pertumbuhan hasil yang kukuh dan pengurusan kos yang berhemat, dengan margin PATAMI kekal sihat pada 8%.

Untuk suku kedua, bilangan kemasukan pesakit dalam meningkat sebanyak 2% kepada 92,665, manakala pesakit luar meningkat 4% kepada 703,802. Kadar penggunaan katil Adalah sebanyak 62%.

Kumpulan mengumumkan dividen interim sebanyak 1.05 sen per saham, berjumlah keseluruhan RM45.8 juta, yang akan dibayar pada 10 Oktober 2025.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Kami berbesar hati ingin memaklumkan bahawa KPJ Healthcare telah mencapai keputusan hasil suku kedua yang memberangsangkan, berteraskan kepercayaan dan sokongan padu pesakit, pakar perubatan, rakan kongsi strategik dan seluruh warga KPJ yang amat saya hargai.​

Keuntungan bersih bagi suku ini meningkat sebanyak 40% berbanding suku sebelumnya, mencerminkan prestasi yang lebih kukuh. Margin keuntungan kasar pula berada pada paras 44.1% bagi suku ini dan 43.6% bagi tempoh enam bulan berakhir 2025, sejajar dengan pengurusan kewangan yang berhemat. Hasil kami meningkat 11% berbanding Suku 2 2024 dan 9% bagi tempoh enam bulan berakhir 2025, didorong oleh  permintaan yang lebih tinggi serta peningkatan dalam kepelbagaian dan kerumitan kes yang dirawat di seluruh rangkaian hospital kami.​

Menerusi pelan transformasi dan penstrukturan semula portfolio yang bermula pada 2023, kami telah berjaya menamatkan operasi di Bangladesh serta menumpukan fokus terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan pemacu pertumbuhan strategik. Keputusan terkini Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) ke tahun 2027 memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pihak berkepentingan, di samping memberi ruang untuk memperkukuh kesiapsiagaan sistem secara lebih mampan.​

Di bawah KPJ Health System, kami terus memperkukuh perkhidmatan subkepakaran, memperluas keupayaan digital serta memacu inisiatif untuk ke arah penubuhan Pusat Kecemerlangan kami pada masa hadapan. Usaha ini tidak tertumpu hanya pada pertumbuhan tetapi turut mempertingkatkan kualiti perkhidmatan “Care for Life” agar pesakit dan komuniti dapat terus menaruh kepercayaan kepada kami pada hari ini dan juga pada masa akan datang. Fokus kami mudah, untuk menyampaikan penjagaan yang mudah diakses, mampan dan benar-benar berteraskan kepada keperluan insan, selaras dengan misi kami untuk terus merawat, mendidik dan meneroka untuk semua.”

KPJ Healthcare kekal optimis dan berwaspada terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh permintaan pesakit yang stabil serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi. Usaha ini merangkumi pengoptimuman aset, peluasan kapasiti dan pengurusan kos yang berdisiplin.​

Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4.0% hingga 4.8% bagi tahun 2025. Keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Diagnosis Related Group (DRG) kepada tahun 2027 turut memberikan hala tuju yang jelas ke arah peralihan yang lebih terancang dan mampan.


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my