Agrobank perkukuh komitmen turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri
KUALA LUMPUR, 13 JUN 2026 – Agrobank hari ini meneruskan pendekatan turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, bagi mendekati komuniti penjaja dan usahawan mikro secara langsung di lokasi perniagaan mereka. Inisiatif ini selaras dengan seruan kerajaan agar institusi kewangan mempergiatkan libat urus di lapangan bagi memahami keperluan peniaga kecil serta memperluas akses kepada modal dan sokongan kewangan yang bersesuaian. Sesi libat urus ini diterajui oleh Agrobank dan turut disertai agensi serta institusi perbankan lain.
Pemilihan Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri sebagai lokasi sesi turun padang adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai antara pasar tani yang aktif, dengan 70 peniaga beroperasi di 98 lot perniagaan serta menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu. Komuniti penjaja dan usahawan mikro merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi setempat serta sumber pendapatan utama bagi ribuan keluarga di kawasan bandar. Tumpuan usahawan mikro yang tinggi, penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui sistem QR dalam kalangan majoriti peniaga serta aksesibiliti lokasi yang baik menjadikan pasar tani ini platform yang sesuai untuk memperluas akses kepada pembiayaan, perlindungan kewangan, khidmat nasihat perniagaan dan inisiatif pendigitalan.
Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri merupakan lokasi ketiga dalam siri sesi libat urus ini, selepas Pasar Tani Taman Melawati dan Pasar Tani Kelana Jaya. Setakat ini, inisiatif turun padang di pasar tani berjaya menjana permohonan pembiayaan mikro berjumlah RM2.1 juta, sekali gus mencerminkan sambutan positif usahawan mikro terhadap akses pembiayaan yang ditawarkan.
Melalui kisah kejayaan pelanggan dalam kalangan komuniti Pasar Tani Kelana Jaya, ia menjadi contoh bagaimana akses kepada pembiayaan yang bersesuaian dapat membantu peniaga kecil memperkukuh operasi perniagaan. Antaranya, seorang pelanggan Agrobank dalam sektor pemprosesan ayam telah menerima pembiayaan mikro sebanyak RM180,000, manakala Pengerusi Pasar Tani Kelana Jaya turut menerima pembiayaan sebanyak RM80,000. Kisah ini mengukuhkan lagi kepentingan pendekatan turun padang bagi membolehkan lebih ramai peniaga mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat kewangan secara langsung.

Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank berkata, “Sambutan yang diterima melalui sesi libat urus sebelum ini menunjukkan bahawa peniaga kecil dan usahawan mikro memerlukan akses kepada maklumat kewangan yang mudah difahami serta dekat dengan lokasi perniagaan mereka. Pendekatan turun padang ini membolehkan Agrobank menyampaikan maklumat dan khidmat nasihat dengan lebih bersasar.”
“Tambahan pula, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kewangan kepada komuniti pasar tani, Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta untuk menyokong penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. Pendekatan ini membolehkan peniaga mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan semakan awal berkaitan kemudahan pembiayaan secara lebih mudah, termasuk Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5% setahun,” katanya.
“Selain pembiayaan, penjaja turut diberikan akses kepada khidmat nasihat kewangan, perlindungan takaful, pendigitalan perniagaan dan literasi kewangan bagi membantu mereka meningkatkan daya tahan serta daya saing perniagaan dalam jangka panjang.”
Agrobank akan terus memperkukuh pendekatan turun padang bersama agensi berkaitan bagi memastikan komuniti penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro mendapat akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif, relevan dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.
Kandungan ini disediakan oleh Agrobank
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/d59e2307e74c93a1c9673d6a80444270.jpg)
