KPJ Healthcare lancar Kempen Digestive Care 4 Life
KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini melancarkan Kempen Digestive Care 4 Life, satu inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran kesihatan sistem pencernaan, penjagaan pencegahan serta intervensi awal. Sebagai antara inisiatif utama kempen ini, KPJ Healthcare akan memperuntukkan 500 prosedur endoskopi dan kolonoskopi secara percuma kepada pesakit awam yang dirujuk oleh fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia ke hospital-hospital KPJ yang mengambil bahagian.
Pelancaran kempen ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia, sekali gus mencerminkan kepentingan komitmen bersama dalam usaha meningkatkan kesedaran pencegahan kesihatan, memperluas akses kepada saringan Kesihatan serta menggalakkan pengesanan dan rawatan awal bagi keadaan kesihatan yang sering hanya dikenal pasti pada peringkat lebih lanjut.

Banyak penyakit berkaitan sistem pencernaan, termasuk kanser kolorektal, boleh berlaku tanpa sebarang tanda atau gejala yang jelas pada peringkat awal. Keadaan ini sering menyebabkan penyakit hanya dikesan apabila ia telah berada pada tahap yang lebih lanjut, sekali gus mengehadkan peluang untuk mendapatkan rawatan awal. Melalui saringan yang bersesuaian, penyakit dapat dikenal pasti lebih awal, membolehkan individu menerima rawatan dan penjagaan yang sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, KPJ Healthcare akan melaksanakan program endoskopi dan kolonoskopi di seluruh negara bagi pesakit awam yang layak dan dirujuk ke hospital-hospital KPJ yang mengambil bahagian. Menerusi 500 prosedur yang diperuntukkan secara percuma, program ini bertujuan membantu pengesanan serta rawatan pada peringkat lebih awal bagi individu yang memerlukan penilaian lanjut, di samping menyokong usaha memperkukuh kesihatan pencernaan dalam kalangan masyarakat.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen Kumpulan dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat menerusi pengesanan dan rawatan awal, selaras dengan peranan KPJ Health System yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan, malah turut menekankan aspek pencegahan dan kesejahteraan komuniti. Tambah beliau, "Banyak penyakit berkaitan sistem pencernaan dapat dirawat dengan lebih berkesan sekiranya dikenal pasti pada peringkat awal. Namun, faktor kekangan seperti kos, tahap kesedaran yang rendah serta kecenderungan untuk menangguhkan pemeriksaan sering menjadi sebab ramai individu tidak mendapatkan penilaian kesihatan yang diperlukan. Menerusi Digestive Care 4 Life, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan agar sebarang masalah dapat dikesan lebih awal, sebelum ia menjadi lebih serius dan lebih sukar untuk dirawat."
"Inisiatif ini bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi juga membantu individu mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut apabila diperlukan. Selaras dengan Care for Life, kami komited untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya mereka yang berdepan cabaran tertentu dalam mendapatkan rawatan. Ini termasuk memperluaskan akses kepada maklumat kesihatan, peluang saringan serta sokongan yang diperlukan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, agar lebih ramai dapat menerima diagnosis tepat pada masanya, rawatan yang bersesuaian serta menikmati tahap kesihatan yang lebih baik," ulas Chin.

Pada majlis pelancaran tersebut, KPJ Healthcare turut mengumumkan inisiatif komuniti yang dilaksanakan dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan Persatuan Advokasi Pendengaran Malaysia (Hear Me Malaysia), yang akan menyediakan 100 saringan kesihatan percuma kepada anggota komuniti pekak. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang inklusif serta memperkukuh penglibatan bersama komuniti pekak dan kurang pendengaran. Pada masa yang sama, ia bertujuan menggalakkan pengesanan awal terhadap potensi masalah kesihatan dan memastikan individu yang memerlukan mendapat susulan rawatan yang sewajarnya. Inisiatif ini juga menyokong usaha memperluaskan penyampaian maklumat kesihatan dan peluang saringan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Digestive Care 4 Life dan inisiatif berkaitan, layari www.kpjhealth.com.my.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/969af71bd6d47b202c2ce6d9b644bd8d.jpg)
