Pertahanan Menyeluruh (HANRUH): Keselamatan negara tanggungjawab bersama
KLUANG, 28 Jun 2026 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah menghadiri Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan bertempat di X-Park, Kluang, Johor hari ini.
Seramai lebih 2,600 anggota tentera bersama keluarga telah hadir untuk bersama-sama dengan Menteri Pertahanan di lokasi rekreasi tersebut.
Penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM melalui program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) melibatkan aktiviti karnival sukan keluarga ATM.
Bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, antara lain penganjuran ini menyokong Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dalam mencapai pertahanan menyeluruh melalui kerjasama awam-tentera.
Dalam sidang media semasa acara tersebut, Dato’ Seri Mohamed Khaled berkata, “Soal mempertahankan negara bukan sahaja terletak kepada Kementerian Pertahanan, tapi perlu ada penyertaan masyarakat.

“Bukannya kita mengesyorkan rakyat mengangkat senjata, tetapi sekurang-kurangnya rakyat menjadi mata dan telinga dan rakyat juga memantau kawasan-kawasan penting dalam negara seperti fasiliti-fasiliti tenaga dan sebagainya.
“Rakyat juga memastikan sama-sama menyumbang kepada perpaduan dalam negara dan tidak menjadi pihak yang mengucar-ngacirkan negara dan menyebabkan angkatan tentera tidak dapat fokus kepada pertahanan negara.
“Sangat penting hubungan masyarakat dengan angkatan tentera dan melalui kaedah ini, antara lain, dapat wujudkan hubungan antara tentera dengan masyarakat,” katanya.
Melalui pendekatan “Whole-of-Government, Whole-of-Society” (WoGoS), karnival ini menjadi platform strategik untuk menyebarluaskan fungsi ATM dalam masyarakat serta memupuk semangat patriotisme yang menjadi asas kepada daya ketahanan nasional yang holistik.

Semasa karnival berlangsung, Dato’ Seri Khaled telah melawat keseluruhan kawasan karnival berlangsung dan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan rakyat yang sedang berjalan bersama-sama ahli-ahli ATM serta ahli keluarga mereka.
Pelbagai aktiviti interaktif telah dianjurkan bagi merapatkan silaturrahim antara tentera dan rakyat, termasuk sukan moden seperti pickleball, futsal dan badminton, serta pertandingan sukan tradisional seperti galah panjang dan sepak bulu ayam yang bertujuan memartabatkan warisan budaya tempatan.

Secara keseluruhan, penganjuran Karnival Hari Keluarga ATM telah berjaya menjadi platform utama bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan MINDEF. Selain itu, program ini juga dapat mengukuhkan sokongan dan semangat warga pertahanan serta membuka peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami peranan ATM melalui interaksi sesama mereka dalam memelihara keamanan, keselamatan, dan kedaulatan negara.

Turut hadir ke karnival di Kluang adalah Ketua Staf Am Markas Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato' Norsham bin Md Tap; Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Dato' Zulhelmi bin Masdar; dan Ketua Jurutera Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin bin Mohd Noh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/05f7ad25c9a64a51a01ca31fd52d378e.jpg)
