KUALA LUMPUR, (6 Ogos 2026) – Kehangatan Bahas Piala Menteri yang bakal menghimpunkan belia dari seluruh negara bagi mengetengahkan idea, hujah dan pandangan mengenai masa depan peralihan tenaga negara bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 12 Ogos ini.

Bahas Piala Menteri merupakan platform bahas belia yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari (SEDA) Malaysia, dengan KiniEvents sebagai rakan penganjur serta disokong Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP).

Dianjurkan bersempena Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026, acara itu memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan peserta berbahas dalam format debat ala parlimen, seolah-olah berada dalam suasana persidangan sebenar, sambil membincangkan isu penting berkaitan hala tuju tenaga negara.

Peserta bakal berhujah menerusi usul: “Dewan ini percaya kerajaan wajar memperluaskan pengeksportan bekalan elektrik berasaskan Tenaga Boleh Baharu ke negara-negara jiran di samping memenuhi keperluan domestik” dan mengetengahkan perbincangan mengenai keseimbangan antara keperluan tenaga domestik dan peluang eksport elektrik hijau.

Malaysia kini sedang mempergiatkan usaha meningkatkan penggunaan sumber Tenaga Boleh Baharu seperti solar, hidro, biojisim, biogas dan sumber boleh diperbaharui lain bagi menyokong agenda kelestarian, keselamatan tenaga serta pembangunan ekonomi. Pada masa sama, negara turut meneroka peluang mengeksport elektrik hijau ke negara-negara jiran.

Bahas Piala Menteri ini bukan sahaja menjadi medan untuk mencungkil bakat intelektual generasi muda, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami cabaran dan peluang dalam peralihan tenaga Malaysia menerusi perspektif yang lebih dekat dan interaktif.

Pembahas muda daripada pelbagai institusi ternama bakal berentap membawa hujah dan perspektif masing-masing. Saksikan Bahas Piala Menteri yang bakal mengetengahkan idea generasi muda dalam membincangkan isu-isu tenaga yang membentuk masa depan negara.

Daftar sebagai PENONTON sekarang di pautan berikut: https://mk.my/p-tenaga