Pentas Bahas Piala Menteri jadi medan debat masa depan tenaga negara
Kemenangan berpihak kepada pasukan Kerajaan dalam Pertandingan Bahas Piala Menteri apabila 10 belia gabungan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Malaysia berjaya menewaskan pihak Pembangkang dalam perbahasan dalam usul yang dipertandingkan iaitu “Kerajaan wajar memperluaskan pengeksportan bekalan elektrik berasaskan Tenaga Boleh Baharu (TBB) ke negara-negara jiran di samping memenuhi keperluan domestik.”
Platform Bahas Belia itu menyaksikan pasukan Kerajaan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, manakala pasukan Pembangkang menerima RM2,000. Turut mencuri tumpuan, Timbalan Ketua Pembangkang, Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar, yang dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Perbahasan dalam format ala Parlimen yang mengetengahkan keseimbangan antara keselamatan tenaga domestik dan peluang ekonomi melalui pasaran elektrik hijau serantau itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bersempena hari kedua Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2026 yang bermula pada 11 Ogos lalu.
Bahas Piala Menteri yang merupakan program flagship di bawah Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) 2026, dianjurkan oleh SEDA Malaysia, dengan KiniEvents sebagai rakan penganjur serta disokong oleh MELP. Program itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin.
Program julung kali ini diperkenalkan sebagai satu platform bagi meningkatkan kefahaman, kesedaran dan penglibatan golongan muda terhadap agenda tenaga negara melalui pendekatan perbahasan yang interaktif dan berasaskan fakta.
Program ini bertujuan melahirkan pelajar yang berfikiran kritis serta berupaya membincangkan isu-isu tenaga semasa secara matang, sihat dan berasaskan fakta. Melalui pertandingan ini, para peserta berpeluang mengemukakan pandangan dan hujahan berkaitan sektor tenaga, termasuk aspek peralihan tenaga, TBB, kecekapan tenaga dan kelestarian. Pertandingan yang berlangsung sepenuhnya dalam Bahasa Melayu ini melibatkan 20 pembahas dan lebih 500 penonton yang terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh negara.
Panel hakim bagi perbahasan ini terdiri daripada Peguam Kanan, Muhamad Shahrulnizam Mohd Roni, selaku Ketua Hakim; Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Tenaga, Puan Veliana Ruslan; Setiausaha Bahagian Pengurusan Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Puan Adlina Aisyah Ahmad Rusli; Ketua Pegawai Eksekutif FG Media (Malaysiakini), Puan Chia Ting Ting; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIDP Youth Institute, Puan Emellia Shariff.

Kerajaan: Eksport pacu kapasiti Tenaga Boleh Baharu
Membuka hujah pihak Kerajaan, Perdana Menteri Iffuan Ridzuan Mohd Radzuan berkata, Malaysia perlu memperluaskan pasaran eksport elektrik hijau bagi meningkatkan permintaan terhadap TBB, sekali gus mendorong pertumbuhan kapasiti negara.
Iffuan Ridzuan mengetengahkan kepentingan memperkukuh kapasiti TBB negara melalui pelaksanaan inisiatif seperti National Energy Transition Roadmap (NETR), pembangunan interconnection elektrik menerusi ASEAN Power Grid serta perluasan program Large Scale Solar (LSS).
Beliau turut menegaskan bahawa pembukaan pasaran eksport elektrik boleh mewujudkan permintaan tambahan daripada negara jiran, di samping menjadi pemangkin kepada peningkatan kapasiti dan pelaburan dalam sektor TBB.
Pada masa yang sama, kepentingan keutamaan domestik kekal diberi perhatian, khususnya dengan adanya mekanisme yang membolehkan eksport elektrik dikurangkan, dihadkan atau dihentikan sekiranya berlaku krisis atau keperluan tenaga dalam negara.

Hujah itu kemudiannya diperkukuh oleh Afiq Athmar selaku Timbalan Perdana Menteri bahawa eksport TBB boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan permintaan dan pembangunan grid negara, selain membuka sumber pendapatan baharu melalui perdagangan tenaga rentas sempadan. Menurutnya, permintaan daripada pasaran eksport boleh mendorong Malaysia menambah bekalan TBB bagi memenuhi keperluan domestik dan mencapai sasaran 70 peratus menjelang 2050.
Beliau berkata, dasar dan mekanisme kerajaan yang bersesuaian penting bagi memastikan pembangunan kapasiti itu boleh berjalan seiring dengan keperluan tenaga negara. Afiq Athmar menjelaskan, sebagai anggota aktif ASEAN, Malaysia mempunyai peluang untuk memperluas perdagangan TBB dan mengukuhkan kerjasama tenaga serantau.
Menteri ketiga, Muhammad Basri
Muhammad menegaskan eksport TBB tidak akan menjejaskan keperluan domestik, malah boleh membantu memperkukuhnya menerusi peningkatan kapasiti, penjanaan hasil serta kerjasama tenaga serantau. Menjawab kebimbangan Pasukan Pembangkang mengenai keselamatan tenaga, keadaan ekonomi serta keterbatasan infrastruktur, beliau berkata lebihan tenaga boleh dimanfaatkan melalui eksport menerusi mekanisme seperti Energy Exchange Malaysia (ENEGEM), termasuk dengan menetapkan had eksport dan klausa kecemasan.
Pelajar dari Universiti Utara Malaysia itu berkata, hasil eksport juga boleh disalurkan kepada pembangunan infrastruktur dan penyelidikan TBB, selain membantu membiayai peralihan tenaga, mengurangkan pembaziran serta menggalakkan pertumbuhan industri TBB negara. Beliau menjelaskan peningkatan kapasiti grid dan infrastruktur seperti yang dirangka dalam NETR akan membantu memastikan keperluan domestik terus terjamin, sementara eksport TBB dapat memperkukuh hubungan tenaga Malaysia dengan negara serantau.

Pembangkang: Domestik mesti dipenuhi dahulu
Ketua pembangkang Mohammad Naqiuddin Mokhtar
Mohammad Naqiuddin berkata pihaknya tidak menolak TBB namun keperluan tenaga domestik perlu diberi keutamaan sebelum Malaysia memperluas pasaran eksport. Beliau berkata sebarang komitmen eksport perlu berasaskan lebihan tenaga yang benar-benar tersedia, selain mengambil kira keselamatan grid, kapasiti penyimpanan tenaga dan keupayaan sistem memenuhi permintaan pada masa hadapan.
Merujuk kepada NETR dan mekanisme ENEGEM, beliau menegaskan perdagangan tenaga rentas sempadan perlu bergantung pada lebihan sebenar, bukan sekadar kapasiti yang berpotensi dibangunkan. Justeru, beliau menggesa kerajaan memperkukuh grid dan infrastruktur tenaga terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan bekalan negara terjamin sebelum peluasan eksport TBB dilaksanakan.
Timbalan Ketua Pembangkang Muhammad Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar,
Beliau berhujah bahawa mengutamakan penggunaan TBB dalam negara dapat menarik pelaburan berimpak tinggi, khususnya daripada syarikat teknologi dan pusat data yang memerlukan bekalan tenaga bersih serta Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC). Menurutnya, pengeksportan TBB dan REC berisiko mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sekiranya syarikat terpaksa mendapatkan bekalan tenaga bersih di negara jiran.
Sebaliknya, penyaluran TBB kepada hab pusat data dan industri semikonduktor tempatan boleh memberi manfaat ekonomi yang lebih besar melalui pelaburan, pengembangan industri dan peluang pekerjaan. Beliau merujuk unjuran PETRA bahawa sektor TBB dan teknologi hijau domestik berpotensi menarik RM637 bilion pelaburan langsung serta mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan menjelang 2050, menunjukkan potensi nilai ekonomi yang lebih besar daripada membangunkan TBB untuk eksport semata-mata.
Menteri ketiga, Adam Mukrish Shaari
Beliau menegaskan bahawa pembangunan industri dan keperluan domestik perlu diberi keutamaan sebelum Malaysia membuat komitmen eksport TBB untuk jangka panjang. Menurutnya, pertumbuhan sektor seperti pusat data dan penggunaan kenderaan elektrik dijangka meningkatkan permintaan tenaga pada masa hadapan, menjadikan kecukupan bekalan TBB domestik semakin penting.
Beliau berkata, pengeksportan TBB secara berterusan sebelum keperluan dalam negara dipastikan boleh menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta mengehadkan keupayaan negara memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat. Justeru, eksport TBB hanya wajar diperluas selepas keperluan domestik dan sasaran pembangunan industri negara terjamin.
Eksport sebagai pemangkin, bukan mengorbankan domestik
Dalam perbahasan itu, penghujahan utama kedua-dua pasukan akhirnya tertumpu kepada persoalan sama ada eksport TBB perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan tenaga negara, atau hanya dilakukan selepas lebihan tenaga benar-benar dibuktikan.
Pasukan Kerajaan mempertahankan tiga asas utama iaitu eksport mampu meningkatkan kapasiti tenaga bersih, menjana hasil untuk membiayai peralihan tenaga, serta memperkukuh hubungan tenaga dengan negara jiran.
Pembangkang pula menegaskan tiga syarat perlu dipenuhi sebelum perluasan eksport seperti jaminan keperluan domestik, keselamatan sistem diperkukuh dan lebihan tenaga sebenar mesti dibuktikan.
Perbezaan pendirian itu memperlihatkan persoalan utama yang perlu dihadapi Malaysia dalam isu peralihan tenaga. Ikuti perbahasan penuh 20 belia berentap merebut gelaran johan pasukan terbaik melalui pautan di laman rasmi Facebook SEDA.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/1a18b49e1316fe47d32107e936467004.jpg)
