KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, layak menerima faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) selepas terlibat dalam nahas jalan raya, tengah malam kelmarin.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), semakan awal oleh Skuad PERKESO Prihatin mendapati Hafizuddin adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dan kekal mencarum LINDUNG 24 Jam sekali gus melayakkan beliau dilindungi apabila ditimpa kemalangan di luar waktu kerja.

“Akibat kemalangan tersebut, Hafizuddin mengalami kecederaan serius pada kaki dan tangan kanan, hematoma di bahagian leher serta kecederaan ringan di kepala.

“Tangan kanannya juga terpaksa menjalani pembedahan amputasi pada paras atas siku demi menyelamatkan nyawa dan beliau kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, PERKESO juga memaklumkan, pihaknya sedang memproses beberapa faedah untuk atlet kelahiran Perlis itu, antaranya Faedah Perubatan dan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit yang akan disahkan oleh pegawai perubatan dan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK).

Beliau juga layak menerima Faedah Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional termasuk peralatan pemulihan, prostetik serta akses rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO bagi membantunya kembali menjalani kehidupan seperti biasa, pasca kecederaan yang dialami.

PERKESO juga akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan keluarga atlet bagi memastikan semua faedah disalurkan segera, termasuk sokongan kaunseling dan pemulihan, bagi membantu Hafizuddin membina semula kehidupan.

“Hafizuddin juga layak menerima pampasan FHUS dengan kadar RM50.40 sehari di bawah LINDUNG 24 Jam serta layak memohon FHUK yang taksirannya akan ditentukan setelah penilaian oleh Jemaah Doktor,” menurut kenyataan sama.

Untuk rekod, Hafizuddin dilindungi PERKESO susulan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar elaun bulanan atlet Program Podium kepada gaji melalui kontrak perkhidmatan, berkuat kuasa Januari 2024.

Dengan perubahan itu, atlet Program Podium diiktiraf sebagai pekerja di bawah Akta 4, dan MSN selaku majikan mencarum bagi pihak mereka setiap bulan di mana sebelum ini atlet negara tidak mempunyai saluran untuk mencarum dengan PERKESO.

Sehubungan itu, PERKESO menyeru persatuan sukan kebangsaan dan negeri, kelab, akademi serta agensi yang mengendalikan program atlet supaya memastikan setiap atlet di bawah naungan mereka didaftarkan dan dicarum di bawah Akta 4, termasuk yang berstatus kontrak, sementara atau dalam tempoh percubaan.

Atlet yang bekerja sendiri juga boleh mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) di bawah Akta 789 untuk melindungi diri mereka sekiranya ditimpa musibah ketika melakukan pekerjaan mereka.


Kandungan ini disediakan oleh PERKESO.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi
advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my