Sang Labah-labah menyengat di Anugerah Juara Lagu
Sedar tak sedar Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dianjurkan oleh TV3 kini telah diadakan sebanyak 19 kali. Dari sebuah pertandingan muzik yang telah dianjurkan secara sederhana pada tahun 1986, kini ia telah matang, lantas dipertandingkan di Stadium Tertutup Bukit Jalil dengan harga tiket yang cukup mahal harganya - RM32 dan RM52.
Saya telah berkesempatan untuk menyaksikan AJL ke-19 di Stadium Tertutup Bukit Jalil. Ini merupakan kali kedua saya menyaksikan AJL di lokasi ini. Saya dapat perhatikan jumlah penonton di stadium tidak seramai tahun lepas. Seorang rakan wartawan berbisik ke telinga saya dengan memberitahu bahawa jumlah penonton tidak ramai kerana Siti Nurhaliza tidak bertanding kali ini (tak kan tiap-tiap tahun Siti nak bertanding, betul tak?).
Saya rasa mungkin ada kebenaran di sebalik teorinya ini. Mungkin peminat-peminat Siti merajuk. Saya pula berteori bahawa harga tiket mungkin terlalu mahal. Jika bukan kerana mendapat tiket percuma, saya tidak mungkin mahu mengeluarkan wang untuk menonton Juara lagu ini secara langsung di dalam dewan, walaupun sebahagian dari kutipan harga tiket dikatakan akan didermakan untuk tabung mangsa tsunami. Lebih baik sahaja saya menjadi di kalangan empat juta penonton yang dikatakan menonton rancangan ini secara langsung di kaca TV.

Alam simfoni yang mesra
Tema AJL pada tahun ini adalah, "Simfoni Alam Sejuta Ilham" pergabungan unsur-unsur hiburan dan alam semula jadi. Tema ini kononnya telah dipilih untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih 'mesra alam'. Saya tidak tahu keberkesanannya penggabungan konsep hiburan dengan pendidikan, kerana rasa-rasanya, penonton cuma ingin tahu menang dan kalah artis yang mereka sayangi (atau benci).
Apa-apa pun, saya dapati AJL pada tahun ini seperti tidak semeriah tahun lepas (sekali lagi, mungkin sebab Siti tak ada kot?). Memang tidak dapat saya nafikan, pada tahun ini tidak kedapatan masalah-masalah teknikal yang dapat mencacati rancangan AJL ini, tetapi entahlah, seperti ada yang kurang menyerlah pula gamaknya.
Puji-pujian harus diberikan kepada pengacara Najib Ali yang telah berjaya menggamatkan suasana AJL ke-19. Pada anggapan saya, Najib telah mengacara rancangan ini dengan tahap profesionalisme yang tinggi. Sayang sekali, pasangannya Sarimah pula kelihatan lebih kaku dan 'pretentious', maka sukar untuk saya melihat 'chemistry' di antara mereka berdua. Cheryl Samad pula seperti biasa, berjaya menyuntikkan keceriaan di dalam suasana tegang di belakang dewan.
Rata-rata, persembahan pada malam AJL ke-19 menarik, walaupun pada pendapat saya, pilihan lagu ke peringkat akhir bukanlah pilihan lagu-lagu terbaik di kalangan lagu-lagu yang ada di Malaysia pada tahun lepas. Ada antara lagu-lagu yang dipertandingkan, masih boleh dipersoalkan kualitinya, tetapi saya yakin, lagu-lagu ini pasti mempunyai khalayak mereka sendiri.
Pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, keputusan AJL ke-19 saya rasa diselubungi kontroversi. Rata-ratanya, saya dapati beberapa orang rakan penulis hiburan yang saya temui tidak begitu bersetuju dengan kemenangan Spider yang menggondol Anugerah Juara Lagu, (lantas memenangi trofi dan wang tunai sebanyak RM25,000). Pada pendapat mereka, lagu nyanyian Misha Omar, Pulangkan, merupakan lagu yang lebih layak memenangi kategori ini.
Mari kita menari dan menyanyi
Saya tidak bersependapat dengan mereka. Bagi saya, cukuplah Misha Omar memenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Juara Balada melalui lagunya Pulangkan (lagu oleh Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan dan Shuhaimi Baba). Sememangnya dia layak memenangi kategori-kategori tersebut. Juga kepada pemenang-pemenang lain seperti Noraniza Idris yang telah memenangi kategori Anugerah Persembahan Terbaik, Spider untuk Anugerah Juara Pop Rock dan Dayang Nurfaizah untuk Anugerah Juara Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.
Mengapa saya menganggap lagu 'pop-reggae' Relaku Pujuk layak memenangi Anugerah Juara Lagu? Kerana bagi saya sememangnya inilah lagu yang terbaik pada tahun lepas. Kali pertama saya mendengar lagu ini saya sudah jatuh cinta dengannya. Apabila saya mendengar lagu ini dipersembahkan di AJL ke-19, saya sudah pasti lagu ini akan menang (malah saya rasa pemenang-pemenang tahun ini agak 'predictable'). Menurut Ajai apabila dia ditanya mengenai kemenangan lagu yang dibawakan oleh Spider, dia berkata: "Generasi baru mahukan kelainan".
Saya memang bersetuju dengan pendapat Ajai ini. Lagu Relaku Pujuk (lagu oleh Tam dan lirik oleh Keon) sememangnya lagu yang mengangkat zeitgeist tahun 2004. Lagu ini penuh dengan keunikan dan kelainan. Para juri; Lokman S, Ooi Eow Jin, Amran Omar, Aubrey Suwito, Sheila Majid, Shuhaimi Jais, Lim Swee Tin, Datuk Yusni Hamid dan Farihin Abdul Fatah secara kolektif merupakan nama-nama yang berpengalaman di dalam persada industri muzik Malaysia. Saya pasti para juri ini telah mengambil kira trend-trend muzik semasa dan melihat jauh ke hadapan ketika memilih lagu ini sebagai juara keseluruhan.
Apabila Noraniza Idris ditanya tentang kemenangannya di dalam kategori Anugerah Persembahan Terbaik, katanya: "Lagu Jawa ini lain sedikit dari lagu etnik yang lain. Gerak tarinya lain, mungkin menarik perhatian juri."
Kata-kata Kak Ani perlu dijadikan iktibar kepada artis-artis yang lain terutamanya yang baru nak naik. Kak Ani menang kerana dia berani mencuba sesuatu yang baru. Tahun ini, beliau tidak menggunakan sebarang props ketika melakukan persembahan, dia cuma diiringi oleh penari-penarinya seramai 21 orang. Dengan kekuatan koreografi yang mantap, sudah cukup untuk dia memenangi kategori ini (sedangkan penyanyi-penyanyi lain yang bertanding di kategori yang sama seolah meniru teknik persembahannya pada tahun-tahun yang lepas).
Kesudahannya...
Penyanyi R&B Dayang Nurfaizah pula melakukan satu kejutan apabila memenangi Anugerah Juara Irama Malaysia dan Etnik Kreatif untuk lagunya Erti Hidup (lagu oleh Afdlin Shauki dan lirik oleh Aji). Lagu ini unik dan lain rentaknya dari lagu-lagu yang bertanding di dalam kategori yang sama.
Jadi apa yang kita boleh lihat dari trend pengadilan pada tahun ini? Kita dapat melihat lagu-lagu yang unik dan keluar sedikit acuan lagu-lagu yang ada di Malaysia dipilih sebagai pemenang. Ini merupakan satu perkara yang baik, saya rasa. AJL ke-19 ini seolah memberi tekanan dan rangsangan kepada komposer serta penulis lirik kita supaya bekerja lebih keras untuk mencipta lagu yang lebih baik, unik dan pada dalam masa yang sama, berjiwa Malaysia.
NIZAM ZAKARIA adalah seorang anak Melayu kelahiran Singapura yang kini berusia 30 tahun dan menetap serta bekerja di Kuala Lumpur sebagai seorang copywriter. 'ARTikulasi' merupakan sebuah pojok di mana penulis cuba membentangkan pendapatnya secara bersahaja mengenai seni, sastera dan budaya di Nusantara. Penulis mempunyai blognya sendiri dan pembaca boleh berinteraksi dengan penulis di sana.
Pembaca Rentakini yang ingin menyumbang artikel kepada kolum Postcards boleh e-mail di dina@malaysiakini.com .