Tandas

Peristiwa tidak begitu penting tetapi agak signifikan buat Deris berlaku di tandas Burj Al Arab. Hotel tujuh bintang di pinggir bandaraya Dubai yang dikatakan paling eksklusif dan mahal di dunia.

"Ini tengit bau jering...!" kata Deris sambil hidungnya kembang kempis menghidu aroma dalam tandas yang boleh saja dianggap sebuah bilik hotel lima bintang. Berkilauan warna keemasan.

"Bau jering kat Burj Al Arab. Tentu ada Melayu yang kencing... mana ada Arab makan jering!"

Donald Lim ketawa terbahak-bahak. Penjaga tandas yang sedang mengelap sinki sama ketawa. Terkejut Deris dan Donald. Terdiam seketika.

"Dari Malaysia?"

"Ya, kami dari Malaysia!"

"Saya Eric dari Filipina tetapi pernah bekerja di Sabah selama 10 tahun!"

"Oh, jadi awak tahulah pasal jering?"

"Sudah tentu... tadi ada seorang India dari Malaysia masuk kencing, sebab itu ada bau jering!" Eric bercakap Melayu telo Sabah.

Donald dan Deris berpandangan. Satu penemuan bersejarah di sebuah tandas lima bintang.

Lobi Hotel

Sesi perbincangan berakhir setengah jam dari jadual. Jamal Al Kentuti, ahli perniagaan Arab dan tuan punya sebuah syarikat pembinaan itu menampakkan kurang minat. Dia bergegas dengan alasan ada urusan lebih penting dengan seorang Sheikh. Yang tinggal dua orang pengurusnya yang berasal dari Kerala. Juga meminta diri sebaik bos mereka keluar dari pintu hotel.

Donald tahu yang perbincangan itu kurang berjaya.

"Salah strategi. Sepatutnya kita lebih kepada idea berkongsi kepakaran dalam kejuteraan, bukan mahu bersaing dengan dia... kita tak buat penyelidikan yang cukup mengenai persaingan di Dubai!"

Tetapi pemikiran Deris tertumpu kepada berita akhbar yang dibacanya. 'Semakin ramai Arab tempatan mengidap kencing manis' menjadi isu utama. Lapuran yang memang menjadikan otak Deris terus saja berputaran.

"Kau tahu ada peluang untuk memasarkan jering dan petai kat sini!"

Donald menggeleng-geleng kepala. Dia kekadang menyesal membawa Deris. Yang dulu seorang pegawai kerajaan, bersara pilihan untuk menjadi pengerusi syarikatnya. Setelah lama menjadi orang dalam yang dipasang untuk Donald mendapat banyak kontrak. Deris sebenarnya tidak perlu bekerja lagi, duit kopi dari kontrak yang diberikan kepada Donald tidak habis dua generasi. Berguni-guni wang tunai tersimpan bawah katil, selain di bank pesisiran pantai.

"Kau tengok Jamal tadi, dah lah gedempol, nampak macam ada kencing manis tu!"

Restoran Lebanon

"Apa beza bau petai dan bau jering?"

Deris bertanya sambil mata mengerling ke arah penari gelek. Muzik begitu kuat dan terpaksa meninggikan suara. Mengunyah kebab kambing dengan lahap. Dia memang suka makan daging kambing.

"Mana aku tahu!"

Donald asyik dengan gelekan penari gelek. Pertama kali dia menonton secara 'langsung'. Ternyata mengasyikkan. Dibuai oleh aura gelekan yang merangsang kelakian. Fikirannya sudah dipenuhi imej-imej memberahikan. Kalau untuk tayangan wayang tentunya diklasifikasikan sebagai lucah, tidak sesuai untuk kanak-kanak. Donald meneguk wain dan menjeling ke arah ramai juga ibu bapa Arab yang membawa anak-anak remaja. Mungkin kerana tarian gelek adalah sebahagian dari budaya mereka. Sama-sama berhibur dalam suasana meriah.

Deris yang beriya-iya mengajak sejak dari dalam kapalterbang nampaknya tertumpu kepada perkara lain. Tidak pada lenggang lengguk penari yang semakin memberahikan Donald.

"Aku pun tak tahu bezanya tetapi kalau ada anti-bau keduanya, lebih baik!"

Donald tidak peduli pada ngomelan Deris yang seakan dalam dunianya sendiri. Orang seperti Deris memang kadang-kadang seperti orang sasau kalau mendapat ilham. Kadang-kadang sedikit tidak siuman, mungkin kerana seluruh tubuh dan otaknya telah di mamah duit kopi. Apalagi dengan gelas demi gelas wain.

"Jering memang jadi ubat kepada kencing manis... kau tengok aku, kedua-dua mak bapak aku mengidap kencing manis. Abang dan adik aku juga sudah kena. Tapi aku yang makan jering sejak kecil masih bertahan...!"

Naif Souq

"Memang betullah tempat ini syurga membeli-belah. Bukan sahaja murah tetapi pilihan juga banyak dan pelbagai!" komen Donald sambil membelek kain-kain sutera yang tergantung dalam kedai. Dari senarai nama untuk membeli cenderahati, termasuk Cindy, perempuan simpanannya sejak tiga tahun lalu. Lebih atas keutamaannya dari isterinya, Maggie yang baru sahaja menjalani pembedahan plastik, membetulkan hidung, membesarkan mata dan payu dara. Untuk awet muda. Sambil menghabiskan wang suami.

Tetapi Deris masih dalam dunianya sendiri. Terus memerhati pengunjung yang kebanyakannya wanita Arab tempatan bersama pembantu rumah, yang terdiri dari warga Indonesia dan Sri Lanka. Terdengar perbualan dalam bahasa Indonesia yang kekadang sengaja dikuatkan. Mungkin untuk menarik perhatian Deris yang merupakan generasi kedua warga Indonesia di semenanjung. Masih punya wajah yang tidak lari dari wajah-wajah biasa di Indonesia.

Isterinya kedua Deris juga warga Indonesia yang menjadi pilihan ibunya, sebagai penyambung warisan bumi Jawa. Setelah isteri pertamanya, seorang anak mami belum mendapat zuriat setelah lama berkahwin. Tetapi isteri keduanya juga masih belum mempunyai anak. Dan Deris terus bertukar ganti girlfriends.

Deris tidak pula mahu berubat, tidak mahu kelakiannya tercalar kalau sah dia yang mandul. Hanya isterinya saja yang setiap hari bersarapan dengan jamu dan berurut. Sementara Deris sentiasa kuat dengan tongkat Ali dan Viagra.

"Saiz badan mereka ini menunjukkan kemewahan..." Deris menyambung gomelan. "Juga menampakkan ciri-ciri kencing manis!"

Donald menggeleng kepala. Malas mahu melayan Deris. Lagipun kepalanya memikirkan tentang cenderahati, takut tersalah pilih antara isteri dan perempuan simpanan. Nanti perang lagi. Perang yang boleh menyebabkan kesialan dalam bisnesnya di musim sektor pembinaan sedang merudum di Malaysia.

Pejabat Matrade Dubai

"Oh! Kau Wak Deris Jono? Tak ingat aku?"

Deris melihat dan cuba menfokuskan fikirannya. Memandang sepenuh perhatian lelaki berpakaian kemas yang kebetulan sama masuk ke pintu pejabat .

"Aku junior kau kat STAR dulu... tak ingat? Kau masa tu tingkatan lima, aku tingkatan satu! Nama aku Arba!"

Deris cuba mengasak-ngasak mindanya. Tidak sedikit mengingati apa-apa walau bayang-bayang. Kosong. Seingatnya, itulah kali pertama dia melihat wajah Arba.

"Mungkin kau tak ingat, sudah lama... tapi aku ingat kau... senior yang paling kuat ragging!"

Deris agak malu mendengarnya tetapi cuba tersenyum. Dia tidak jadi ketawa apabila Arba menyambung, "Dan sejak lama, aku pasti ingat kau sampai mati!"

Perlahan Deris bertanya, "Apa kau buat kat sini?"

"Aku Pengurus Matrade kat sini!"

"Oh!" terbungkam Deris. Rupanya temujanjinya pagi itu dengan seorang junior sekolah.

"Aku rasa nampak kau di Burj Al Arab semalam, nak tegur tapi nak cepat sebab nak ambil menteri kat airport!" sambung Arba sambil masuk ke bilik pejabatnya.

Tiba-tiba Donald yang lama berdiam diri bersuara.

"Betullah kata pencuci tandas ada orang Malaysia masuk tandas... sebab itu kami masuk ada terbau hancing jering!"

Donald ketawa. Berubah wajah Arba. Deris serba-salah. Donald sudah tersalah buat jenaka.

Suasana sepi seketika. Donald cuba memperbetulkan keadaan. Menyambung jenaka, "Deris nak buat bisnes jering sebagai ubat kencing manis. Nak buka outlet kat Burj Al Arab!"

Tetapi tidak menjadi. Arba nampak kurang senang dengan Donald yang nampak tidak begitu tahu protokol. Donald dapat merasakannya.

"Jadi kau nak masuk buat bisnes pembinaan kat sini?"

Arba bertanya setelah mendengar penjelasan Deris. Sambil melihat kad bisnes Deris yang tertulis nama, Datuk Idris bin Awang, MBA, AMN, PJK, AJK, dengan jawatan Pengerusi. Manakala kad bisnes Donald Lim, Pengarah Urusan Kumpulan.

"Aku ada banyak menerima pertanyaan dari syarikat di sini untuk menjalin kerjasama dengan syarikat pembinaan kita. Sudah ada juga yang bertapak kat sini. Tetapi Dubai memerlukan lebih banyak kontraktor kerana projek yang begitu banyak. Tengoklah kren yang begitu banyak di sana sini... di mana-mana ada pembinaan!"

Deris menelan air liur. Donald membetulkan tempat duduk.

"Jadi boleh tolong untuk dapatkan rakan niaga yang baik di sini?"

Arba memandang tepat ke arah Deris yang membayangkan sesuatu. Tersenyum sendiri. Sudah lama dia menantikan saat ini.

"Kau ingat masa mula-mula kita jumpa kat sekolah dulu?" tanya Arba.

Deris memang tidak ingat. Menggeleng. Tiba-tiba berdebaran.

"Aku boleh tolong buka pintu, ada kontrak pembinaan bernilai ratusan juta... pemajunya mahu cari kontraktor dari Malaysia!"

Deris dan Donald tersenyum. Mata mereka dipenuhi RM.

"Tetapi kau Deris kena buat apa yang pernah kau paksa aku buat selama seminggu setiap malam sebelum tidur di asrama."

Deris terdiam.

"Apa dia? Deris boleh buat punya!" Donald menyampuk lagi. Sekali lagi cuba berjenaka tidak kena tempat.

Arba menyandar dan tersenyum. Sambil mengambil henfon berkameranya.

"Bogel dan buat ketuk ketampi sebanyak 100 kali!"


FUDZAIL writes as a hobby. He has contributed fiction to the Cerpen section of Rentakini. You may submit your pieces in English or Bahasa Melayu to dina@malaysiakini.com .