Skuad bola sepak bawah 13 tahun negara terus mempamerkan sentuhan magis apabila memulakan langkah kanan dalam kejohanan Ibercup Estoril di Portugal semalam.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B meraih tiga mata pertama apabila menewaskan Segeltorp IF dengan jaringan 2-1.
Pada perlawanan itu anak buah Lim Teong Kim mendapat gol pertama pada separuh masa kedua melalui jaringan Fahmie Daniel sebelum gol penyamaan daripada pihak lawan.
Gol kedua negara diperoleh hasil sepakan penalti oleh Naven selepas Danial Amali dijatuhkan sekali gus memberi kemenangan pertama dalam kejohanan itu.
Sementara itu, pada perlawanan kedua menentang Kelab Dragon Force Lisboa skuad remaja negara berkenduri sakan apabila menundukkan lawan dengan jaringan 7-0.
Penyerang Malaysia, Aiman Amali ( gambar ) muncul sebagai watak penting selepas menghadiahkan hatrik buat pasukan negara.
Empat gol lain masing-masing dijaringkan oleh Arif Aiman, Amran, Haikal Alif dan Ikhwan Hafizo.
Skuad B13 negara akan berentap pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu pasukan SC Linda-a-Velha, hari ini.
