Skuad bola sepak bawah 13 tahun (B-13) yang dibentuk melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam Kejohanan Ibercup Costa Del Sol 2015.

Namun, tanpa sebarang sasaran khusus, skuad negara muncul sebagai juara Sabtu lalu.

Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar berkata, setiap tahun pelatih memang mengadakan program jelajah Eropah untuk memberi pengalaman kepada pemain di rantau itu.

Katanya, antara negara yang dilawati ialah Jerman dan Austria.

"Memandangkan ada kejohanan Ibercup kita ambil keputusan untuk sertainya bagi mendapatkan nilai tambah dalam program jelajah Eropah.

"Kita tidak mengharapkan apa-apa kejuaraan di sini. Maksudnya tiada KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan khusus untuk kejohanan Ibercup. Kita hanya nak lihat bagaimana kumpulan pertama PPBN ini beraksi menentang bakat-bakat terbaik di sini dalam satu atmosfera kejohanan," Kata Safirul Azli ketika dihubungi Malaysiakini .

Sepanjang jelajah itu, kata Safirul Azli, secara keseluruhan anak didik Lim Teong Kim bermain sebanyak 19 perlawanan dan tidak pernah kalah walaupun sekali.

Mahu lihat perkembangan

"Kita mencatatkan 17 kemenangan dan dua seri, serta menjaringkan 55 gol daripada 15 penjaring berbeza manakala bolos hanya 13 gol.

"Nyata sekali kita telah membuka mata ramai penggiat  bola sepak di sini," katanya.

IberCup merupakan kejohanan bolasepak remaja paling berprestij di Eropah kerana membariskan beberapa akademi dan kelab utama di Eropah seperti Sporting Lisbon, FC Sevilla, Juventus, Real Madrid, Barcelona dan lain-lain.

Selepas muncul juara di Ibercup Costa Del Sol itu Safirul Azli berkata, pemain PPBN menggalas cabaran Ibercup Estoril bermula malam tadi (waktu Malaysia).

"Seperti biasa kita tiada target apa-apa cuma mengharapkan pemain dapat memperbaiki kelemahan.

"Untuk Ibercup di Estoril, seperti biasa Teong Kim dan jurulatih lain hanya mahu melihat perkembangan setiap pemain secara individu dari segi karakter dan kemampuan memahami corak permainan lawan.

"Tambahan pula di Estoril, kita akan bertemu pasukan baru. Jika menang ianya adalah bonus dan hadiah kepada pemain dan negara," jelasnya.