Ulasan Liga Super: Ada apa dengan The Red Warriors
Prestasi tidak menentu, terancam disingkirkan dari Liga Super dan kegemilangan seolah-olah adalah cerita semalam.
Jika itu belum cukup meresahkan The Red Warriors (TRW), fahami pula realiti ini: Mereka sekarang tiada pengemudi sebenar.
Tanpa banyak angin yang bertiup, musim kemarau membawa khabar bahawa Mohd Azraai Khor Abdullah meletak jawatan daripada tugasnya sebagai jurulatih Kelantan.
Mungkin Mohd Azraai ( gambar ) membuat keputusan itu atas dasar mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk TRW. Jika benar, walapun pahit, kemanisan yang terbit daripada tindakan itu adalah hakikat bahawa beliau masih berjiwa besar.
Namun apakah benar juga dakwaan beliau bahawa wujud tangan-tangan ghaib yang mengganggu konsentrasi kerjanya di Kota Bharu?
Jika jawapannya ialah "ya", apakah yang lebih malang untuk pasukan sehebat Kelantan ketika ini?
Perlawanan terdahulu menyaksikan TRW sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby tetapi dibelasah 0-3 oleh Lions XII.
Sabut atau batu?
Esok, TRW bertandang ke Shah Alam untuk mempertaruhkan nasib sebagai pasukan tetamu kepada PDRM.
Dalam perlawanan Kelantan - PDRM sebelum, TRW itu tersungkur 0-4 di gelanggang sendiri.
Kedudukan semasa ialah PDRM berada di tangga keenam dan Kelantan, ke-10.
Memang PDRM mengalami dua kekalahan - kepada Pahang - sebelum ini tetapi anak buah Azman Adnan itu bangkit menundukkan Lions XII walaupun kalah lagi kepada Johor Darul Ta'zim.
Di Stadium Shah Alam PDRM pasti mahu mencatatkan kemenangan bergaya sekali gus meraih tiga mata penuh.
Apakah nasib Kelantan di bawah bimbingan Zulhasmi Ismail yang sebelum ini berkhidmat sebagai penolong jurulatih? Adakah 'pahlawan merah' dari pantai Timur itu akan menjadi sabut atau batu?
Kelantan tidak ada masa lebih lama untuk lengah bangkit, kecuali sekarang.
N FAIZAL GHAZALI wartawan unit sukan Malaysiakini.

