Nama kelab itu memang masih gah tetapi seorang lagi pemain yang dianggap berbisa bakal gelanggan selepas kontraknya selama tiga tahun berakhir.
Sama ada direlakan peminat atau tidak, Robin van Persie dilaporkan bakal berhijrah ke Turki untuk bermain dengan kelab Fenerbahce.
Ketika bermain bersama Arsenal, van Persie adalah salah seorang penyerang paling digeruni namun prestasinya menurun ketara selepas meninggalkan Emirates untuk berkampung di Old Trafford.
Ketika Manchester United kini diuruskan oleh Louis van Gaal ( gambar ), nasib van Persie sepatutnya lebih terjamin kerana kedua-dua mereka datang dari negara sama - Belanda.
Namun hakikatnya tidak begitu. Walaupun van Persie menjelaskan dia tidak lagi ingin memanaskan bangku simpanan, van Gaal sebaliknya berpendapat kelab itu tidak akan terjejas apa-apa tanpa van Persie.
Akhirnya MU tidak menawarkan sebarang kontrak untuk van Persie.
Terlalu perlahan
Fenerbahce segera melihat ada peluang boleh disambar di situ.
Pengursan kelab gergasi Turki itu menghubungi ejen van Persie dan menawarkan kontrak empat tahun serta gaji yang lumayan.
MU juga membiarkan seorang lagi pemainnya, Angelo Henriquez berpindah, manakala seorang lagi penyerang yang diharap dapat mengubah nasib kelab itu, Radamel Falcao tidak ditawarkan apa-apa selepas dipinjam dari Monaco.
Sumber berkata, van Persie dan Falcao terlalu perlahan untuk menyempurnakan formula van Gaal.
Keadaan itu menjadikan ketika ini MU hanya bergantung kepada Wayne Rooney dan James Wilson sebagai senjata pemusnah.
Javier Hernandez yang pulang selepas dipinjam Real Madrid sedang cedera dan menghadapi nasib tidak menentu.
MU memang perlukan penjaring yang lebih baik untuk dibariskan bersama Angel di Maria, Juan Mata dan Memphis Depay.
