Akhirnya Liverpool lepaskan Raheem Sterling
Selepas gosip demi gosip perpindahan, penyerang Liverpool Raheem Sterling akhirnya dilepaskan untuk menyertai Manchester City dengan yuran perpindahan besar berjumlah £49 juta (RM288 juta).
Tawaran ketiga City untuk mendapatkan pemain itu akhirnya mencapai kata putus selepas Liverpool bersetuju dengan bayaran tersebut.
Difahamkan yuran tersebut termasuk RM5 juta dalam bentuk bonus kepada Liverpool.
ESPN FC melaporkan, Sterling telah diberi lampu hijau untuk bertemu pengurusan City dan menjalani ujian kesihatan sebagai proses ke Etihad.
Pemain skuad kebangsaan England berusia 20 tahun itu dikhabarkan tidak akan menyertai perlawanan persahabatan siri jelajah Asia ke Thailand, Australia dan Malaysia bermula hari ini.
Rekod bersama Liverpool, Sterling berjaya menghasilkan 23 gol dalam 129 perlawanan sejak 2012.
Sebelum ini, City menawarkan £30 (RM176 juta) sebelum melanjutkan tawaran dengan nilai £40 (RM235 juta). Bagaimanapun kedua-dua tawaran tersebut ditolak Liverpool.
Sterling juga dilaporkan menunjukkan kedinginan untuk terus bersama Liverpool apabila enggan mengikuti siri jelajah Asia dan menghilangkan diri ketika sesi latihan.
Sementara itu, Liverpool sedang membidik pemain dari kelab Borussia Dortmund, Marco Reus bagi menggantikan posisi Sterling di Anfield.

