Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menundakan tarikh program Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (SCKL) dilihat akan mencemarkan reputasi Malaysia di mata dunia.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, sebagai pemimpin muda yang berfikiran terbuka dan progresif Khairy tidak sepatutnya bertindak sedemikian semata-mata untuk memenuhi indeks prestasi kerja (KPI) kementeriannya.

"Maraton SCKL adalah acara peringkat antarabangsa, justeru bermakna peserta dari seluruh dunia khasnya telah membuat perancangan datang ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam maraton ini. Ia salah satu daripada maraton antarabangsa utama di negara ini selain Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang yang dianjurkan setiap tahun.

"Keputusan yang dibuat itu menunjukkan menteri-menteri di Malaysia mempunyai terlalu banyak kuasa di tangan mereka menyebabkan penganjur terpaksa akur. Mereka bukan saja memberi tekanan melalui kementerian, tetapi juga boleh bergantung kepada sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan," katanya melalui dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Khairy Isnin lalu mengumumkan penundaan tarikh Maraton SCKL dari 4 Oktober (Ahad) kepada 10 Oktober (Sabtu) supaya dapat dilangsungkan secara bersama sempena sambutan Hari Sukan Negara pada tarikh tersebut.

Kian Ming yang juga peserta Maraton SCKL itu berkata,  perubahan tarikh itu juga telah mendatangkan kritikan dan bantahan daripada peserta yang mengambil bahagian.

"Sebagai menteri belia dan sukan yang kononnya progresif dengan pemikiran rakyat,beliau bertindak dengan tidak bertimbang rasa. Tindakan beliau itu juga memberi sebab untuk kita meragui kredibiliti dan keikhlasan pemimpin BN lain termasuk Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, satu akaun Facebook "Bawa SCKLM Kembali hingga 4 Oktober: Hentikan  Politicising Sporting Events" telah memberi maklum balas negatif terhadap tindakan yang dibuat itu.

Selain itu satu petisyen yang dilancarkan semalam juga berjaya mengumpul sebanyak 1,500 tandatangan sebagai bantahan terhadap perubahan yang dilakukan itu.

Malaysiakini semalam melaporkan, Facebook Khairy turut 'diserang' peserta Maraton SCKL yang membantah tindakan itu. Malah ada di kalangan mereka yang telah menempah tiket penerbangan dan hotel untuk menyertai acara pada tarikh asal.