Harimau Muda C titip klip raya dari Slovakia
Tak dapat pulang beraya di kampung halaman dan menyambut kehadiran Syawal di negara orang pastinya menggamit kerinduan sesiapa sahaja.
Itulah luahan barisan pemain bola sepak negara skuad Harimau Muda C (HMC) melalui satu video klik bertajuk 'Parodi Hari Raya HMC di Slovakia' yang dimuat naik di laman YouTube pada 10 Julai lalu.
Mereka yang kini sedang berjuang pada siri perlawanan di Slovakia menggunakan cara tersendiri untuk menyampaikan salam Aidilfitri kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia.
Rombongan yang diketuai ketua jurulatih HMC, Hassan Sazali Mohd Waras dijadualkan menyambut ketibaan Syawal di perantauan bagi menamatkan siri perlawanan dengan kelab-kelab bola sepak bawah 19 tahun (B-19) di negara itu.
Video dengan tempoh selama 4 minit 18 saat berlatar belakang lagu “Cahaya di Aidilfitri” dendangan kumpulan Black Dog Bone itu menunjukkan memaparkan sesi latihan dan perlawanan disertakan keterangan ucapan mereka.
"Video ini ditujukan khas kepada semua ibu-bapa pemain-pemain Harimau Muda C yang tidak dapat beraya bersama anak-anak mereka pada tahun ini. Pengorbanan mereka, amatlah kami hargai. Semoga video ini dapat menjadi pengubat rindu kepada mereka.
"Pembikinan video "Parodi Hari Raya" ini dilakukan tanpa mengganggu program latihan Harimau Muda C di Slovakia.
“Ia dilakukan ketika waktu rehat pemain dan juga selepas tamat latihan atau sesi "recovery pemain," keterangan itu dipetik.
Skuad HMC akan mengharungi 16 perlawanan sepanjang di Slovakia dan dijangka kembali ke tanah air pada 13 Ogos ini.
Untuk rekod sehingga semalam, mereka telah menang dalam sembilan daripada 10 perlawanan yang dihadapi.
Ia sebagai persiapan untuk menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2015 yang bakal berlangsung di Sidoarjo, Indonesia, 22 Ogos hingga 4 September ini diikuti Kelayakan B-19 AFC 2016 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

