Menteri minta maaf, maraton kembali tarikh asal
Selepas dikritik kerana menukar tarikh acara Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (SCKL) 2015, akhirnya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengalah dan bersetuju agar program itu ditetapkan pada tarikh asal iaitu 4 Oktober.
Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, Khairy berkata, beliau telah membaca banyak komen mengenai maraton dan mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur.
"Kami membuat keputusan agar SCKL akan dilangsungkan pada 4 Oktober memandangkan banyak isu yang dibangkitkan.
"Bagi pihak kementerian, Standard Chartered, Dirigo dan DBKL, saya memohon maaf atas kesulitan disebabkan perubahan tarikh tersebut dan saya berharap anda semua akan turut tampil ke hadapan menyokong Hari Sukan Negara," kata Khairy.
Khairy sebelum ini mengumumkan tarikh SCKL diubah dari 4 Oktober (Ahad) kepada 10 Oktober (Sabtu) supaya program itu diadakan secara bersama sambutan Hari Sukan Negara.
Bagaimanapun, penukaran tarikh tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya di kalangan peserta SCKL sendiri.
Ahli Parlimen Serdar Dr Ong Kian Ming, tampil membantah penukaran tarikh SCKL kerana boleh mencemarkan imej negara.
Ia berikutan SCKL adalah antara acara maraton terbesar dianjurkan di Malaysia dan turut disertai peserta dari luar negara.
Selain itu, Facebook Khairy juga turut 'diserang' dengan pelbagai reaksi menggesa agar acara itu dikembalikan kepada tarikh asalnya kerana ramai peserta telah membuat persiapan dengan menempah tiket penerbangan dan penginapan.

