Kapten Pilihan Malaysia janji hibur penonton
Diberi penghormatan sebagai kapten pasukan Pilihan Malaysia menentang bekas jaguh Liga Juara-juara Eropah, Liverpool, ia memang kejutan besar buat tunggak pertahanan Pahang, Razman Roslan.
Katanya, dia menerima pilihan itu dengan hati terbuka namun menyedari tanggungjawab yang digalas amat berat.
Namun Razman berikrar untuk melaksanakan tugas itu sebaik mungkin untuk membantu Pilihan Malaysia menghadapi kemaraan Liverpool.
Tekanan? Bagi Razman dia tidak berasakan tekanan sebaliknya pelantikan itu menjadikannya lebih bersemangat.
"Sudah pasti saya dan rakan sepasukan akan memberi yang terbaik, atau sekurang-kurangnya menghiburkan penyokong yang datang ke stadium. Kami harus menggunakan peluang ini untuk mempelajari sesuatu daripada Liverpool," katanya ketika ditemui media semalam.
Menurut Razman, dia dan rakan sepasukan yang dididik Dollah Salleh berasa lebih bertanggungjawab terhadap pasukan.
Mereka juga, katanya, berikrar memberikan 100 peratus di atas padang.
Razman sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mahu menarik diri daripada skuad Pilihan Malaysia dengan alasan belum bersedia.
Bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk turut membantu skuad Dollah selepas mengadakan perbincangan dan mendapat nasihat daripada Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan.

