Harimau Muda C cemerlang di Slovakia
Pasukan Harimau Muda C (HMC) semakin mengaum di Slovakia selepas mempamerkan prestasi luar biasa dengan mencatatkan kemenangan ke-12 berturut-turut, semalam.
Pada siri perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab bola sepak bawah 19 tahun (B-19) di negara itu.
Pada perlawanan menentang kelab Dunajska Streda, anak didik Hassan Sazali Mohd Waras mencatatkan keputusan 3-2.
Gol-gol skuad muda negara itu terhasil melalui jaringan hatrik Jafri Firdaus Chew pada minit ke-11, 17 dan 82.
Laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaporkan, HMC telah mengharungi 13 perlawanan di Slovakia dan hanya tewas pada perlawanan pertama menentang FC Horna Nitra.
Mereka bakal beraksi pada tiga baki perlawanan lagi sebelum dijangka pulang ke tanah air pada 13 Ogos depan.
Siri jelajah Slovakia itu merupakan persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2015 yang bakal berlangsung di Sidoarjo, Indonesia, 22 Ogos hingga 4 September depan.
Ia akan disusuli dengan saingan Kelayakan B-19 AFC 2016 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

