Tok Gajah siap siaga hadapi Sime Darby
Selepas berehat lebih seminggu sempena sambutan Aidilfitri aksi perlawanan Liga Super 2015 akan diteruskan pada Sabtu ini.
Pasukan Pahang pastinya menjadi tumpuan peminat bola sepak temapatan walaupun akan berdepan pasukan di tangga tercorot liga iaitu Sime Darby FC.
Bagaimanapun perkara itu tidak dipandang enteng oleh pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan.
Bagi Zainal, pertemuan di gelanggang lawan itu amat mencabar kepada anak buahnya untuk mengekalkan kemenangan bagi memastikan terus mendahului takhta liga.
"Kita tahu Sime Darby mahukan kemenangan pertama mereka lebih-lebih lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri.
"Walaupun mereka berada di tangga tercorot liga, kita tetap perlu melipat ganda usaha untuk memastikan kemenangan," katanya kepada Malaysiakini .
Mengulas mengenai prestasi semasa anak buahnya, Zainal Abidin ( gambar ) berkata, dia berharap rentak permainan yang ditunjukkan sebelum ni dapat diteruskan.
"Barisan pemain saya alhamdulillah dalam keadaan baik, kecuali Azamuddin Akil dalam senarai kecederaan. Bagi perlawanan ini yang penting kita gandakan kesungguhan," jelasnya.
Sementara itu, walaupun mendahului liga, Pahang dilihat tidak boleh terlalu selesa apabila diikut rapat oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).
JDT di kedudukan kedua liga kini mengumpul 31 mata berbeza dua mata berbanding Pahang.
Sekiranya tewas atau seri di Stadium Selayang Sabtu ini, kedudukan bekas juara edisi pertama Liga Super (2004) itu pastinya digugat oleh skuad Harimau Selatan yang akan bertemu Sarawak di Stadium Negeri.
Dalam perlawanan lain akan menyaksikan Kelantan menanti kehadiran Perak di Kota Bharu, Selangor ditentang PDRM di Shah Alam dan Terengganu dicabar ATM di Paroi.
Selain itu, Felda United akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar untuk bertemu LionS XII pada 2 Ogos (Ahad).

