Paris Saint-Germain (PSG) kian hampir mengikat pemain tengah Manchester United (MU), Angel di Maria, kata Laurent Blanc.

Kenyataan pengurus kelab gergasi bola sepak Perancis itu dibuat tidak lama selepas MU pulang dari siri perlawanan persahabatan - yang mengecewakan kerana tewas 0-2 kepada PSG - di Chicago, AS.

Menurut Blanc, usaha membawa di Maria, 27, ke  Parc des Princes hampir muktamad.

"MU dan PSG adalah kelab besar dan rundingan boleh menjadi rumit, tetapi kami hampir ke penghujung sekarang," katanya di sidang media semalam.

Di Maria menyertai MU dari Real Madrid pada musim panas lalu dengan rekod perpindahan mencecah £59.7juta (RM355.7 juta).

Namun di sebalik harapan menggunung untuk di Maria mencipta bahagia di England, prestasi pemain kebangsaan Argentina itu malam dan kurang diberi peranan oleh pengurus MU, Louis van Gaal ( gambar ).

Nama di Maria disenarai bersama pemain lain MU untuk menyertai siri perlawanan persahabatan di AS tetapi dia tidak tiba seperti dijadual pada Sabtu lalu.

Malah, keadaan dan lokasi di Maria menjadi tanda tanya kepada van Gaal.

"Saya tak tahu di mana dia," kata van Gaal.

Menurut van Gaal, dasar kelab itu ialah tidak akan mengumumkan sesuatu sehingga ia dimuktamadkan.

"Kita perlu tunggu dan lihat," katanya.