Walcott, Cazorla sambung kontrak di Arsenal
Dua pemain berbisa Arsenal, Theo Walcott dan Santi Cazorla menandatangani kontrak baru bersama juara Piala FA itu semalam.
Walcott yang menjaringkan 76 gol dalam 302 penampilan bersama The Gunners mengikat kontrak selama empat tahun.
Walaupun terpaksa direhatkan kerana kecederaan pada musim lalu, kemunculan semula pemain England berusia 26 tahun itu ternyata memberi kesan besar apabila menjaringkan hatrik dalam kemenangan kelabnya ke atas West Bromwich.
Walcott juga menyumbang gol ketika perlawanan akhir Piala FA mengalahkan Aston Villa 4-0.
Melalui kontrak baru itu Walcott menerima gaji mingguan sebanyak £140,000 (RM835,846).
Bagi Cazorla, 30, pula kehadirannya memang disenangi pengurus The Gunners, Arsene Wenger.
Pada musim lalu pemain Sepanyol itu menjaringkan27 gol dalam 148 penampilan sejak tiba dari Malaga pada 2012.
Dia menerima tawaran lanjutan dua tahun di Arsenal.
Bercakap kepada wartawan laman sesawang rasmi Arsenal, Wenger berkata, Walcott dan Cazorla adalah pemain kelas tinggi dan kedua-duanya penting kepada pasukan.
"Selain berjasa di atas padang, mereka juga sangat popular di luar.
"Kehadiran mereka memberi tambahan kepada kestabilan kelab," katanya.

