Berbekalkan dengan perbezaan tipis satu mata, hasrat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendahului Liga Super tercapai apabila saingan terdekat mereka - Pahang - ditumpaskan Lions XII dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Kekalahan 4-2 itu pastinya memberi tamparan besar buat skuad Tok Gajah, tetapi khabar gembira untuk JDT yang menang - juga dengan angka satu - ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Gol JDT yang dibimbing Mario Gomez itu hadir pada minit ke-72 apabila hantaran pemain sayap, S Chanturu dimanfaatkan dengan baik oleh penyerang mereka, Mohd Safee Sali.

Sementara itu Mohd Safee dilaporkan berkata, kemenangan itu memberi semangat kepada mereka untuk berjuang lebih gigih bagi mempertahankan kedudukan dalam liga.

"Sekarang misi kami ialah harus mengekalkan momentum kemenangan ini untuk terus mendahului liga.

"Saya bersyukur dengan segala dorongan yang telah diberikan oleh pasukan terhadap saya," katanya dipetik daripada Facebook JOHOR Southern Tigers.

Dalam keadaan semasa, satu-satunya skuad yang realistik boleh mencabar JDT tentulah Pahang.

Berbaki empat perlawanan lagi, tempat ketiga ialah Selangor dengan 29 mata dan untuk menjadi juara, mereka mesti memenangi semua baki empat perlawanan dan mengharap JDT dan Pahang kalah semua perlawanan.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan juga tentu tidak akan memberi laluan mudah.

Bagi perlawanan seterusnya, Pahang bakal menanti kehadiran Kelantan di Kuantan, manakala JDT pula bakal ditentang Lions XII di Larkin pada 11 Ogos ini.