Dalam tindakan yang sangat jarang berlaku, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mengutuk keras penganjuran acara lumba kereta Grand Prix Kuala Lumpur City yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.

Ditulis agak panjang wartawan akhbar itu mengaitkan acara berkenaan - yang menyebabkan banyak laluan utama di Kuala Lumpur ditutup - dengan aktviti demonstrasi.

"Semalam bermula satu acara sukan tidak berfaedah yang menambahkan stres dan kemarahan penduduk kota. Perlumbaan kereta di tengah bandar. Acara itu berlangsung selama tiga hari, semalam, hari ini dan esok.

"Acara itu kononnya sangat hebat sehingga digembar-gemburkan akan mencatat sejarah nasional. Ya, memang sejarah akan tercatat sebagai perlumbaan kereta di tengah bandar yang paling menyusahkan hidup hampir dua juta warga Kuala Lumpur!" tulis akhbar tersebut.

Dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), acara perlumbaan kereta itu dilakukan selepas lima laluan utama - dan paling sibuk - di kota raya ditutup.

Jalan itu ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan Jalan P Ramlee.

Penutupan dibuat antara jam 6 pagi hingga 6 petang pada 7, 9 dan 9 Ogos.

Selar DBKL luluskan acara

Tulisan bertajuk Bermulanya acara sukan tidak berfaedah, menyusahkan rakyat! itu mengecam keputusan kerajaan tempatan meletakkan pengguna jalan raya dalam "kesesakan paling azab sepanjang minggu" acara berkenaan diadakan.

Utusan mendakwa kesesakan berlaku sepanjang masa bukan sahaja di lokasi perlumbaan malah di mana-mana sahaja.

Tulisan tersebut juga menyelar DBKL yang meluluskan acara perlumbaan tersebut.

"Tolonglah jangan ulangi lagi perlumbaan tidak berfaedah ini tahun depan. Penduduk Kuala Lumpur sudah terbeban dengan macam-macam tekanan hidup. Kos sara hidup yang tidak turun-turun, kegawatan politik serta situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan.

"Lagipun jalan raya di tengah bandar Kuala Lumpur ini bukanlah elok sangat. Sempit, compang-camping, penuh dengan lubang, lompang sana sini, kualiti turapan yang tidak sempurna selain pelbagai kecacatan lain.

"Tanyalah mat rempit, mereka pun tidak sanggup berlumba di jalan raya di tengah ibu kota ini," kata penulisnya.