Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Eva si doktor jelita Chelsea dihukum Mourinho
Diterbitkan:  Aug 13, 2015 12:54 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Penonton perlawanan membabitkan Chelsea mungkin akan merindui kelibat pegawai perubatan kelab itu, Eva Carneiro, yang muncul setiap kali ada pemain mereka cedera di padang.

Mulai sekarang, Eva tidak lagi ditugaskan mengawasi pemain ketika perlawanan sebaliknya diarah berkhidmat di kompleks latihan Chelsea di Cobham.

Semuanya kerana kemahuan The Special One , Jose Mourinho.

Tidak cukup dengan itu, Mourinho juga tidak membenarkan doktor berusia 42 tahun itu menghadiri sesi latihan kelab atau memasuki hotel tempat pemain menginap.

Sumber berkata Mourinho mengeluarkan larangan berkenaan semalam dan berkuat kuasa hujung minggu ini apabila The Blues bertandang ke Stadium Etihad untuk menghadapi Manchester City.

Media pula menyatakan, latar kepada tindakan Mourinho menghukum Eva adalah kesan kepada keputusan seri Chelsea menentang Swansea dalam perlawanan pertama mereka.

Chelsea juga dihukum pengadil dalam perlawanan itu apabila penjaga gol mereka, Thibaut Courtois dibuang padang selepas mendapat kad merah.

Menjelang wisel penamat, penyerang mereka, Eden Hazard nampak cedera dan Eva dan pembantunya masuk ke padang untuk membantu.

Di situ bermula masalah pada pandangan Mourinho.

Mengikut peraturan Liga Perdana Inggeris, apabila pegawai perubatan masuk ke padang, pemain yang mendapat rawatan mesti dikeluarkan sebelum dibenarkan pengadil menyambung permainan.

Peraturan itu diwajibkan walaupun kecederaan pemain tidak serius.

Tindakan Eva itu memang berniat baik tetapi Mourinho - sebagai pengurus - melihat insiden itu hanya merugikan Chelsea kerana membazir masa dan peluang menekan Swansea.

"Saya kecewa dengan pasukan perubatan kami. Saya tak pasti mereka doktor atau setiausaha," katanya.

Lihat Komen
ADS