Kemuncak Liga Super: Siapa sabut siapa batu?
Sama ada kejuaraan kekal bertakhta di selatan atau hanyut bersama bayu ke pantai timur, episod terakhir drama Liga Super 2015 akan terjawab secara muktamad beberapa jam saja lagi.
Kata-kata klise untuk menjelaskan keadaan serba mungkin - dalam bola sepak - ialah "bola itu bulat" dan "padang itu rata". Namun di sebalik kepasrahan itu apa saja boleh berlaku ketika dua pasukan terunggur dalam liga bergelut menghadapi lawan masing-masing malam ini.
Mengharungi 22 perlawanan, JDT dan Pahang masing-masing mempunyai peluang untuk juara, tetapi pada masa sama tetap perlu bersandar kepada tuah.
Memetik kata penyair Indonesia Chairil Anwar, "nasib adalah kesunyian masing-masing".
Kita akan saksikan sama ada "nasib" itu menyebelahi JDT dan kesunyian pula ditakdirkan hak Pahang, atau adakah sebaliknya.
Tak boleh pandang ringan
Di atas kertas JDT berkelebihan melalui kutipan 46 mata di puncak liga berbanding Pahang 44 mata di tempat kedua.
Tetapi skuad Harimau Selatan itu perlukan tiga mata penuh, manakala Pahang perlu menang bertemu Terengganu di samping mengharap JDT kalah atau seri.
Bakal menjadi tetamu KL Felda United di Stadium Selayang malam ini, JDT pastinya perlu berwaspada dengan kelincahan anak buah Irfan Bakti Abu Salim.
Felda pula bukanlah boleh dipandang ringan. Mereka pernah mengecewakan Pahang yang memburu kemenangan di Stadium Darul Makmur apabila perlawanan berkesudahan seri 2-2.
Keputusan itu sekali gus meletakkan Pahang kembali diatasi JDT.
Kelibat pemain seperti Indra Putra Mahyudin, Shukor Adan, Zah Rahan Kragar, Makeche Ndumba dan Thiago Augusto Fernandes bukanlah sembarang pemain yang boleh diambil mudah oleh anak buah Mario Gomez.
Rekod jadi rujukan
Malahan pada perlawanan pusingan pertama Liga Super Mei lalu, JDT hanya menang tipis 1-0 kepada Felda.
JDT yang memiliki pemain handalan negara seperti Safee Sali, Amri Yahyah, Safiq Rahim dan S Chanturu serta diperkuat oleh jentara import - Marcos Antonio Elias Santos dan Luciano Figueroa - sudah tentu akan memberi cabaran maksimum untuk Felda.
Sementara itu Pahang, berdasarkan rekod pertemuan saingan pusingan pertama liga Mei lalu berjaya menewaskan Terengganu 3-2.
Sekiranya JDT dan Pahang menang ke atas lawan mereka malam ini, kejuaraan liga tetap menjadi milik JDT sekali gus mempertahanankan kejuaraan musim lalu.
Bagi Pahang pula, mereka cuma mengharapkan kemenangan dan kekalahan JDT untuk mengulangi sejarah kejuaraan Liga Super edisi pertama 2004.

