Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bola sepak adalah politik, cuma bola sepak bukan sekadar menjaringkan gol atau mencari kemenangan semata-mara.

Memanglah matlamat sesebuah pasukan menyertai pertandingan bola sepak adalah untuk menang, tetapi ia masih tidak menafikan hakikat bahawa sukan tetap sukan.

Sukan ada semangatnya sendiri. Carilah di Youtube, akan ada banyak klip video memaparkan bagaimana sukan itu memiliki semangat yang jauh lebih mulia daripada sekadar kemenangan.

Aksi Ronaldinho berlari ke tepi padang untuk menyerahkan jersinya kepada lelaki kurang upaya, misalnya. Atau bagaimana Miroslav Klose memaafkan pemain lawan ketika pengadil bersedia memberikan penalti dalam perlawanan antara kelab.

Terlalu banyak contoh bahawa bola sepak bukan sekadar menang. 'Selongkar' dengan menggunakan kata carian yang betul di Internet dan anda akan boleh menemui banyak bukti dan contoh mengenai semangat kesukanan.

Tetapi saya ragu adakah kita - jika membuat carian begitu - akan menemui contoh semangat kesukanan daripada Diego Costa.

Terpaksa 'mengemis'

Barangkali ketika Costa mengasari pemain - dan terlepas daripada hukuman pengadil - pada Sabtu lalu, dia lupa betapa susahnya mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab sehebat Arsenal, atau Southampton, Aston Villa, Newcastle, Bournemouth. Liverpool, Man United atau Everton.

OK, juga seperti kelab Chelsea.

Sebelum diberi tempat di The Stamford Bridge (dan sebelumnya Atletico Madrid), Costa, 25, boleh dikatakan 'mengemis' untuk mendapatkan kepercayaan pengurus kelab.

Dia pernah bermain untuk Brazil tetapi kemudian mungkin menyedari kurang diperlukan dan terpaksa pula mewakili Sepanyol - negara yang bukan tempat darahnya tumpah (kecuali jika dia pernah bertumbuk hingga berdarah di situlah.)

Namun kekejian Costa bukan terhad kepada dirinya saja. Ia adalah cerminan The Special One yang tidak malu-malu melakukan apa saja demi mencari kemenangan.

Untuk menang Jose Mourinho boleh 'memarkir bas' di depan pintu golnya dan mendabik dada sebagai The Special One.

Costa kira-kira samalah dengan Roy Keane dan Eric Cantona yang mewakili Alex Ferguson di Man United suatu ketika dulu.

Mungkin kita boleh memahami keterdesakan The Blues mahu 'keluar dari gua' selepas sekian lama menjadi penghuni kawasan terpencil bagi mengelak diketawakan ramai.

Namun mengasari pemain lawan untuk membangkitkan kemarahan adalah keterlaluan. Tiada kekhilafan tentang hakikat itu.

Keadaan diburukkan lagi oleh kelemaan Mike Dean yang menjadi pengadil perlawanan. Adakah Dean bercita-cita menjadi Howard Webb baru?

Sebaliknya peminat bola sepak perlu memuji Arsenal yang tabah dan tegas dengan falsafah bawaan Arsene Wenger.

Tanpa perlu membalas rangsangan dan provokasi Chelsea, Arsenal tetap sabar dalam kalah.

Realitinya begini: Chelsea bermain 11 orang menentang 10 pemain Arsenal untuk mendapatkan gol pertama, dan perlu menunggu sehingga The Gunners bermain sembilan orang untuk gol kedua.

Itulah, macam saya tegaskan tadi - bola sepak adalah tentang maruah. Bukan kemenangan semata-mata. Cuma Chelsea gagal memahaminya.

Saya tak bercadang mengusik Siti Merah Manja pada kali ini. Memang susah nak terima kenyataan bahawa mengatasi Norwich itu suatu beban terlampau besar kepada mana-mana kelab kecuali Liverpool.

Cuma saya mahu bertanya - adakah Siti Merah Manja menjadi antara peminat The Reds yang mengimpikan Jurgen Klopp menggantikan Brendan Rodgers? Sedarlah, masalah Liverpool bukanlah tentang Rodgers sangat, sebaliknya kelab itu sendiri. Ia semudah itu.


WIRA KELANA kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Lembah Kelang. Baru-baru ini beliau ditawarkan menjadi jurulatih sebuah kelab dan sedang mempertimbangkannya.

Lihat Komen
ADS