Perlawanan bola sepak bukan pilihan raya!

Janganlah kehebatan sesebuah pasukan diukur melalui angka semata-mata, seperti kita mengukur populariti politik dengan kertas undi. Siapa yang sikit kalah, yang banyak menang.

Ini bola sepak. B-o-l-a s-e-p-a-k. Dan peminat bukan menonton untuk membilang angka.

Bagi Siti, dalam bola sepak apa yang kita mahu saksikan adalah skil dan gerakan menarik seseorang pemain - sama ada secara sendirian atau berpasukan. Kalau kena caranya, memang menusuk.

Bola sepak adalah sukan berseni yang bukan macam pingpong, badminton, sepak takraw. Bola sepak bukan sekadar mengumpul mata kerana bagi setiap pasukan yang menang, mata diterima cuma tiga. Kalau seri - satu. Kalah? Meloponglah!

Memang kreatif sangat

Tapi bagi Siti, gol bukanlah segala-galanya. Tapi bagi (bekas) suami Siti, memang susah nak faham. Kadang-kadang dia tergamak meninggalkan Siti begitu saja kerana mahu melihat jaringan gol. Mula-mula dulu Siti biarkan saja, tapi lama-lama Siti jadi menyampah sangat.

OK, kembali kepada cerita Siti kali ini.

Cuba fikir: Apakah persamaan Zinedine Zidane dan Ronaldo selain daripada kepala mereka yang botak? Mengapa orang terhibur dengan Ronadinho?

Zidane, Ronaldo dan Ronaldinho bukannya penjaring gol terbanyak liga, tapi skil dan kreativiti mereka menggelecek bola atau mengumpan hantaran memang kreatif sangat. Kalau tidak, takkanlah Siti yang tak tahu apa-apa tentang bola sebelum kahwin dulu boleh 'jatuh hati', kan?

Sebab itu, Siti cadangkan sistem kiraan bola sepak diubah kepada kiraan mata, bukan jaringan gol semata-mata. Gol bolehlah dikira juga tapi tambahan mata patut diberi.

Ini dapat menyelamatkan bola sepak daripada pupus, kerana makin banyak pasukan bermain untuk tidak kalah, bukannya untuk menang. Umpamanya Chelsea yang terkenal sebagai 'pasukan bas'.

Jika kiraan mata dibuat, Siti yakin semua pasukan akan bermain cantik - penuh kreativiti dan gerakan unik dan 'menikam'. Bukan harapkan gol penalti dan sepakan percuma semata-mata, apatah lagi gol-gol biasa.

Siti yakin, sistem itu akan menggalakkan pasukan bermain dengan gaya serangan. Alah, macam Liverpool dua musim lalu - serang gila-gila sampai 11 pemain Chelsea berkampung berkhemah dalam kotak penalti sendiri!

Tapi bermain cantik sahaja tak cukup. Kita sebagai peminat mahu menyaksikan gol-gol yang buat kita melompat secara spontan dari kerusi dan menjerit macam orang kena histeria.

Gol-gol cantik juga akan dikagumi peminat pasukan lawan. Alaah, macam peminat Manchester United kagum dengan gol gunting Cristian Benteke tempoh hari.

Cuba fikir, berapa kali dalam seumur hidup seseorang pemain mampu menjaringkan gol melalui sepakan seperti itu? Ada yang tidak pernah sekalipun!

Seingat Siti, pemain pujaan Wira Kelana , Thiery Henry juga tak pernah. Seingat Siti lagi, hanya Peter Crouch ketika bersama Liverpool melakukannya lebih dari sekali. Eh, silap. Lebih daripada tiga kali!

Itu barulah bola sepak yang ada seni. Barulah bola sepak sedap dinikmati.

Sebab itu, kiraan mata perlu diubah. Gol menarik diberi tambahan mata dan aksi menarik diberi mata juga.

Jika kiraan mata dibuat, maknanya Liverpool dan Manchester United seri. Mengapa? Sebab gol Benteke patut diberi dua mata tambahan.

Keseluruhannya, Liverpool yang jaringkan satu gol diberi tambahan dua mata. Keputusannya tiga-tigalah kerana MU hanya jaringkan tiga gol biasa-biasa sahaja.

Dan, kalau ada yang berkata gol larian solo Anthony Martial menakjubkan, rasanya tidak. Kepada Wira Kelana, bukan Thiery Henry sahaja sumbat gol seperti itu. Michael Owen berpuluh-puluh kali melakukannya.

Bagi peminat Liverpool, itu gol biasa-biasa sahaja. Peminat MU jangan tak ketahuan sangat!

OK-lah, Siti nak sambung sidai cadar . Siti tak ada ampaian, Siti hamparkan kat lima piala Champion League saja.


SITI MERAH MANJA adalah peminat tegar Liverpool. Sejak bercerai, ibu kepada seorang anak itu giat menulis sebagai sebahagian daripada terapi jiwanya.