Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lain padang lain kepantasan. Namun itu bukan penghalang kepada Rashid Baharom yang kini menjadi pemain hoki profesional bersama kelab Jerman.

Sebelum ini Rashid adalah ayam tambatan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Kini menyertai kelab HTC Schwarz-Weiss Neuss, Rashid adalah salah seorang warga Malaysia yang bersaing di liga hoki Jerman.

Selain Rashid, seorang lagi pemain kebangsaan negara, Faiz Helmi Jali turut disunting Weiss Neuss yang kini berjaya naik ke saingan division utama selepas muncul juara Divisyen Satu musim lalu.

Bagi Rashid peluang bermain dengan kelab antarabangsa itu bukan sekadar untuk mencipta kejayaan peribadi lebih gemilang, malah turut menggalas cabaran baru.

Corak permain laju, larian pantas, stamina tinggi dan taktikal rumit disifatkan amat berbeza daripada apa yang dilalui di Malaysia.

"Liga di sini (Jerman) corak permainan mereka laju. Perlukan tahap stamina yang tinggi. Kalau tak ada (stamina) susah bersaing," katanya.

Rakan tak kedekut

Namun Rashid boleh menarik nafas lega - sekurang-kurangnya untuk waktu ini - kerana berjaya menyesuaikan diri.

Pada masa sama, pemain kelab itu juga menerima kehadiran mereka berdua.

"Rakan sepasukan tak kedekut memberi tunjuk ajar dan berkongsi pendapat. Di sini ramai pemain yang hebat-hebat," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas mengenai corak permainan di Jerman, Rashid berkata, taktikal yang ditekankan adalah cara pass line dan teknik penerimaan bola.

“Bukan mudah untuk mencipta gol kerana pemain yang beraksi di liga ini sangat bagus. Saya perlu biasakan dengan sesi latihan di sini, di samping kemahiran penyerang menjaringkan gol.

"Kebanyakan kelab yang beraksi di sini mempamerkan corak permainan yang berkualiti tinggi," kata penyerang berusia 23 tahun itu.

Setakat ini, Rashid dan Faiz diturunkan pada perlawanan bertemu Berliner HC namun kelab mereka tewas 1 - 3.

Mereka akan beraksi hingga November ini sebelum saingan liga berehat. Ia akan disambung lagi mulai Februari tahun depan.

Sebanyak 12 kelab beraksi dalam divisyen utama liga hoki Jerman dan buat masa ini kelab Koln berada di kedudukan teratas selepas empat perlawanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS