Piala Malaysia: 4 perlawanan ditangguh
Empat perlawanan Piala Malaysia malam ini ditunda susulan keadaan jerebu melampau dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
Penangguhan itu dibuat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (JKPT). Mereka akan akan mengumumkan tarikh baru perlawanan tersebut dalam masa terdekat.
Perlawanan yang ditangguhkan ialah antara JDT II menentang Terengganu di Stadium Pasir Gudang, ATM bertemu Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, PDRM dan Pahang di Stadium Shah Alam dan PKNS melawan Pulau Pinang di Stadium Selayang.
"Komisioner perlawanan memutuskan penundaan perlawanan tersebut setelah mengambil kira bacaan IPU yang melebihi 150 serta faktor jerebu yang boleh memudaratkan di lokasi perlawanan," kata JKPT dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan supaya semua aktiviti dan acara sukan dibatal atau ditangguhkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat.
Selain itu, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) turut menyarankan FAM mengkaji semula jadual perlawanan Piala Malaysia 2015 berikutan keadaan berjerebu di negara ketika ini.
Presiden PFAM Izham Ismail berkata badan induk itu harus meletakkan faktor kesihatan dan keselamatan pemain, pengurusan pasukan, pegawai perlawanan, pengadil dan juga penonton sebagai keutamaan.
Sehubungan itu, beliau meminta FAM mengambil serius perkara berkenaan bagi mengelak kemudaratan yang lebih teruk kepada pihak terlibat pada masa hadapan.

