Selepas disenarai hitam Julai lalu, ada khabar bertiup mengatakan Hulk Hogan mungkin kembali ke WWE.

Ia bermula tercetus apabila rangkaian WWE memuat naik rakaman perlawanan membabitkan atlet itu, termasuk ketika dia bertemu Andre The Giant, The Rock dan dalam The Powers Mega Explode .

Menurut pemerhati gusti, tindakan itu dilihat sebagai agenda tersembunyi WWE untuk membawa lagenda gusti kesayangan ramai itu kembali ke arena profesional.

Namun Hollywood Repoter melaporkan WWE sudah membuat kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

"The Hulk" - atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea - secara rasmi dipecat daripada WWE pada 24 Julai 2015 ekoran kenyataannya yang berunsur perkauman.

Ia dibuat dalam satu rakaman video peribadi pada tahun lalu.

Keputusan Vince McMahon dan WWE menamatkan kontrak dengan Hogan dilihat sebagai langkah munasabah demi menjaga kepentingan masa depan syarikat.

WWE juga menyenaraihitamkan semua rujukan yang mengaitkan Hogan dengan rangkaian berkenaan.

Dia tak rasis

Namun tindakan WWE mengeluarkan nama Hogan daripada senarai Hall of Fame ternyata paling mengecewakan penggusti itu.

Dalam rancangan podcast WOOOOO! Nation kendalian Ric “The Nature Boy” Flair baru-baru ini, Hogan menjelaskan tindakan WWE mengeluarkan beliau dari Hall of Fame sukar diterimanya.

" Hall of Fame adalah cerita hidup saya, tetapi saya dikeluarkan sebegitu rupa.

"Ternyata kehadiran saya tidak lagi dihargai lagi," kata Hogan dalam sesi temubual tersebut.

Dan ketika ditanya mengenai hubungannya dengan McMahon, Hogan bertegas beliau tidak mempunyai sebarang masalah.

"Tiada masalah antara saya dengan McMahon atau WWE. Mereka mengenali saya lebih dari 30 tahun dan mereka tahu saya bukan seorang yang bersifat perkauman," katanya.

Insidepulse pula melaporkan, McMahon kecewa dengan tingkah laku Hogan.

"Dia kini bermasalah. Kenyataan perkauman itu adalah tindakan bodoh bagi lelaki seperti beliau yang banyak meluangkan masa bercakap di depan umum." kata Vince.

Namum pada masa sama McMahon menolak dakwaan bahawa Hogan sebagai seorang yang rasis.