Bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo dinobatkan penerima kasut emas buat kali keempat dalam kariernya, semalam.
Penyerang dari Portugal itu mencatat rekod baru sebagai pemain pertama berjaya mengumpul empat kasut emas selepas muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang musim 2014-2015 dalam semua liga domestik di Eropah.
Ronaldo menghasilkan 48 gol pada musim lalu sekali gus mengatasi lima gol yang dijaringkan pesaing terdekatnya, Lionel Messi.
"Empat kasut emas adalah satu penghormatan kepada saya. Tetapi saya akan terus mencabar diri untuk melakukan yang lebih baik dan memecahkan rekod lain," katanya seperti dilaporkan Sky Sport.
Sepanjang kariernya, Ronaldo telah mengecapi pelbagai anugerah malah baru-baru ini mencatatkan rekod 500 gol koleksi peribadi sebagai pemain bola sepak.
Prestasi itu setanding denga pencapaian Raul Gonzalez sebagai penjaring gol terbanyak di Madrid.
Dia juga menyamai pencapaian Messi dan Thierry Henry yang berjaya meraih kasut emas dalam dua tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, setakat ini Messi hanya mengumpul tiga kasut emas sepanjang kerjayanya bersama Barcelona.
Selain itu, Ronaldo kini turut mengatasi lima gol berbanding Messi sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di Liga Juara-juara walaupun belum berjaya mengatasi enam rekod lain yang dimiliki bintang dari Argentina itu.
