Futsal AFF: Malaysia di tempat ketiga lagi
Skuad lelaki negara menamatkan cabaran Kejohanan Futsal AFF 2015 di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 6 - 5 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Bangkok Futsal Arena, Thailand semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian menduduki tempat ketiga pada tiga edisi sebelum ini - 2001 di Kuala Lumpur serta 2007 dan 2008, kedua-duanya berlangsung di Thailand.
Pada perlawanan semalam Saiful Nizam Mohd Ali muncul wira bagi anak buah Marcelo Serpa apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-18, 32 dan 39, manakala tiga gol lagi menerusi Mohd Khairul Effendy Bahrin (minit ke-12), Muhamad Fitri Yatim (minit ke-14) dan Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad pada minit ke-34.
Gol Vietnam pula dijaringkan oleh Duong Anh Tung pada minit keempat, Vu Xuan Du (minit ke-11), Tran Van Vu (minit ke-13), Le Quoc Nam (minit ke-21) dan Ngo Ngoc Son pada minit ke-30.
Sementara itu, juara bertahan Thailand meneruskan penguasaan selaku pasukan futsal nombor satu di rantau ini apabila mengalahkan Australia 5 - 3 pada perlawanan akhir, sekali gus merangkul kejuaraan ke-11 pada kejohanan berkenaan.
Thailand yang muncul juara sejak edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2001, kecuali pada 2010, beraksi cemerlang selepas Kritsada Wongkaeo menjaringkan hatrik, dua gol dalam masa yang sama iaitu minit ke-28 serta ke-40, manakala dua lagi gol pasukan tuan rumah menerusi Sorasak Phoonjungreed (minit ke-34) dan Warut Wangsama-Aeo pada minit ke-37.
Australia yang dikenali sebagai Futsalroos memperoleh gol menerusi Jarrod Basger pada minit ke-28, Barrientos Jonathan (minit ke-36) dan Daniel Fogarty pada minit ke-39.
Thailand tidak menyertai edisi 2010 yang berlangsung di Vietnam, manakala pada 2011, kejohanan itu dibatalkan selepas beberapa negara ASEAN tidak bersetuju dengan cadangan Indonesia agar kejohanan itu diadakan pada Disember, yang terlalu hampir dengan Sukan SEA ke-26 yang diadakan di negara berkenaan.
- Bernama

