Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala M'sia: S'gor pasukan pertama ke suku akhir
Diterbitkan:  Oct 18, 2015 11:29 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Juara 32 kali, Selangor menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas menjuarai Kumpulan C, malam tadi.

Biarpun masih mempunyai satu lagi baki perlawanan, 10 mata yang dikutip selepas lima perlawanan dalam kumpulan maut itu, sudah cukup mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara kumpulan selepas pencabar terdekat Felda United dan T-Team, masing-masing mengutip enam mata diikuti Kelantan yang mendapat lima mata.

Selangor meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan wakil Terengganu, T-Team 2-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Andik Vermansah dan Ahmad Hazwan Bakri, masing-masing pada minit ke-18 dan 72 manakala gol tunggal pelawat disumbang Mohd Zarulizwan Mazlan pada minit ke-28.

Felda United dan Kelantan pula terikat 2-2 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes meledak dua jaringan untuk tuan rumah pada minit ke-18 dan 32 manakala dua gol Kelantan dihasilkan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-28 dan kapten Mohd Badhri Radzi pada minit ke-43.

Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) melebarkan rekod tanpa kalah kepada tiga perlawanan selepas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia 4-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus mengungguli kumpulan berkenaan menerusi kutipan maksimum sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Empat gol JDT dijaringkan S.Chanthuru pada minit ke-11, kapten pasukan Safiq Rahim (m24), Luciano Figueroa (m36) dan Mohd Nazrin Mohd Nawi (m69).

Dalam satu lagi aksi kumpulan B, jaringan tunggal J. Partiban pada minit ke-34 membolehkan Sarawak meraih tiga mata ke atas Perak di Stadium Negeri, Kuching.

Terengganu pula kembali menghidupkan peluang memburu slot ke suku akhir selepas menewaskan pendahulu Kumpulan A, Kedah 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Penyerang import dari Kanada, Issey Nakajima-Farran meledak dua gol untuk skuad Penyu pada minit ke-24 dan 73 serta jaringan Hasmizan Kamaruddin (m76) manakala Kedah meraih gol saguhati menerusi Bang Seungwhan (m68).

Kekalahan itu menyaksikan wakil kelab Singapura, Lions XII merampas kedudukan Kedah di tangga teratas kumpulan selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas JDT II hasil jaringan Shahdan Sulaiman pada minit ke-49 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam saingan kumpulan D selepas juara bertahan, Pahang yang juga pendahulu kumpulan, kalah mengejut 1-4 kepada PKNS FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Empat gol skuad Semut Merah dijaringkan Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-15, Pedro Henrique (m25), Mohd Nizam Abu Bakar (m82) dan Patrick Ronaldinho Wleh (m90) manakala Pahang memperoleh gol saguhati menerusi Zesh Rehman (m45).

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang dalam satu lagi aksi Kumpulan D.

Tiga gol skuad The Cops dijaringkan Mohamadou Sumareh pada minit keempat dan 84 serta gol Ahmad Nizam Mohd Rodzi (m9) manakala Lee Gil Hoon dan Mohamad Faisal Abdul Halim menjaringkan gol tuan rumah, masing-masing pada minit ke-67 dan 90.

Kempen Piala Malaysia kembali bersambung malam ini selepas ditunda Persatuan Bola Sepak Malaysia susulan keadaan jerebu yang melanda negara sebelum ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS