Skuad Penyu tiada pilihan kecuali menang
Terengganu tidak mempunyai pilihan kecuali menang baki dua perlawanan kumpulan A bagi menghidupkan semula peluang dan ruang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Menghuni tangga tercorot kumpulan nyata menyukarkan laluan ke suku akhir namun kemenangan 3-1 ke atas Kedah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus malam tadi kembali menyemarakkan semangat anak buah Ahmad Yusof.
Ternyata kemenangan sulung itu memberi kelegaan dan kembali membuka ruang buat skuad Penyu itu untuk bersaing bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Ahmad berkata kemenangan itu menjadi motivasi dan pembakar semangat buat anak didiknya mengintai peluang ke suku akhir.
Bagi memastikan tidak tersingkir daripada saingan kempen Piala Malaysia musim ini, beliau berkata mereka tidak mempunyai alasan kecuali mengutip mata penuh ke atas JDT II di tempat lawan pada 27 Okt ini dan Lions XII di gelanggang sendiri pada 31 Okt ini.
Pada peringkat pertama perlawanan kumpulan, Terengganu seri tanpa jaringan dengan JDT II dan kalah 3-2 kepada Lions XII.
"Kita harap semua pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan ini bagi memastikan tidak tercicir," katanya.
Ahmad berharap penyerang import pasukan itu, Paulo Rangel segera pulih daripada kecederaan bagi membantu pasukan merealisasikan impian skuad Penyu.
Lions XII sudah hampir pasti ke suku akhir selepas mengungguli saingan kumpulan dengan 10 mata diikuti Kedah dengan tujuh mata manakala JDT II dan Terengganu berkongsi empat mata.
-Bernama

