Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas muncul sebagai pasukan pertama layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015, pasukan Selangor pastinya mengintai peluang untuk kembali merangkul kejuaraan buat kali ke-33.

Di tangga teratas dengan pungutan 10 mata dalam kumpulan C memberi lebih keselesaan berbanding pasukan lain dalam kumpulan.

Kedudukan itu sekurang-kurangnya dapat mengelak daripada berdepan pasukan gergasi seperti JDT.

Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari bagaimanapun mengakui perjalanan mereka masih panjang dan perlu mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek.

"Alhamdulillah, walaupun bermula dengan aksi mengecewakan selepas kalah 0-3 kepada Kelantan pada perlawanan pertama, selepas itu pemain bangkit sehingga muncul sebagai pasukan pertama layak ke peringkat suku akhir.

"Dengan berbaki satu perlawanan di saingan kumpulan kita sudah terjamin melepasi satu peringkat awal dan yang penting adalah persiapan untuk hadapi peringkat kalah mati," katanya kepada Malaysiakini yang mensasarkan satu piala pada musim ini.

Pada saingan Liga Super lalu, Selangor terpaksa berpuas hati di tangga ketiga walaupun muncul sebagai pasukan yang menjaringkan gol terbanyak iaitu 43 gol bersama pasukan Pahang di tangga kedua liga.

Terakhir menang 10 tahun lalu

Amirudin berkata, beliau berharap pencapaian yang dikecapi sekarang menjadi suntikan semangat kepada barisan pemain.

"Saya akui pasukan kita tidak mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti pasukan lain, tetapi dengan semangat berpasukan akan menjadi penentu kejayaan.

"Saya berharap pemain tidak terbuai dengan pencapaian kita sekarang dan lebih fokus dalam melakukan persediaan lebih baik," katanya.

Kali terakhir Selangor muncul sebagai juara Piala Malaysia pada tahun 2005 dengan menewaskan Perlis 3-0 sekali gus mencatatkan kejuaraan kali ke-32.

Sementara itu, Amirudin yang juga exco sukan negeri Selangor berkata, harapan akhir pastinya mengharapkan pasukan mampu meraih kejuaraan piala tersebut.

"Saya sering mengadakan pertemuan dengan pemain untuk memastikan mereka lebih fokus tanpa menghiraukan sebarang gosip perpindahan untuk musim depan.

"Apa yang penting sekarang adalah memberi tumpuan untuk Piala Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS